Forum Serantau YAPEIM 2024 himpun 60 penceramah
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Forum Serantau Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) (FSY2024) yang buat julung kalinya diadakan bulan depan bakal menghimpunkan 60 penceramah dan ahli panel dari dalam serta luar negara.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur FSY2024 Professor Datuk Dr Saadiah Mohamad berkata, forum yang mengetengahkan tema “Memperkasa Ekonomi Madani Melalui Sinergi Rangkaian Serantau” menampilkan panel dari Indonesia, Kemboja, Singapura, Thailand dan United Kingdom, selain Malaysia.
“Mereka yang dijemput mempunyai latar belakang dalam pelbagai bidang seperti tokoh politik, pakar ekonomi, tokoh belia, penyelidik, pemimpin pelajar, usahawan sosial, pensyarah universiti awam dan swasta, wakil kementerian, ketua badan bukan kerajaan dan juga pengamal industri dalam sektor ekonomi dan kewangan Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi sidang akhbar pra pelancaran FSY2024, di sini pada Jumaat.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif YAPEIM, Ameer Ali Vali Mohamed.
Ujar beliau, FSY2024 akan dikendali dalam Bahasa Melayu sebagai lingua franca Nusantara dengan beberapa sesi akan turut dijalankan dalam Bahasa Inggeris.
"Ini bertujuan untuk memastikan penyertaan yang luas dan memudahkan pemahaman dalam kalangan peserta dari seluruh rantau Nusantara," jelas Saadiah.
Menurutnya, antara topik yang akan dikupas adalah memerangi kemiskinan tegar serantau selari dengan agenda kerajaan dalam usaha untuk menokhtahkannya.
"Selain itu sektor infaq yang jarang dikupas dalam mana-mana perbincangan juga akan disentuh menerusi perbincangan pada forum ini," kata beliau.
Tambah Saadiah, FSY2024 mempunyai objektif untuk mengumpulkan pengamal serta pemikir dalam ekonomi dan kewangan Islam bagi mengenal pasti cabaran dan kehendak ekonomi serta kewangan semasa.
Selain itu forum berkenaan bakal merancang pelbagai pendekatan dan strategi yang berkesan untuk membantu kerajaan membangun ekonomi umat Islam, memperkasa sektor ketiga dalam usaha membangunkan ummah dengan lebih efisyen dan tadbir urus yang baik
"FSY2024 juga menghubungkan jaringan dan mengeratkan rantaian serta mewujudkan sinergi hubungan ekonomi antara ummah di rantau nusantara," katanya.
FSY2024 yang akan berlangsung pada 1 dan 2 Oktober ini dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menyasarkan lebih 500 penyertaan.
Penganjuran FSY2024 sempena ulang tahun penubuhan YAPEIM ke-40 itu turut disiarkan secara langsung menerusi YouTube, Facebook rasmi YAPEIM.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!