Arwah mahu nasib pesawah Kelantan dibela

Hasrat disampaikan kepada cucu 15 hari sebelum meninggal dunia

Mohamad Radzuan menunjukkan gambar Allahyarham Hussein bersama kepimpinan UMNO pada tahun 1990.
Mohamad Radzuan menunjukkan gambar Allahyarham Hussein bersama kepimpinan UMNO pada tahun 1990.
A
A
A

PASIR MAS - Penghujung hayat tokoh veteran UMNO, Tan Sri Hussein Ahmad sempat menyuarakan hasrat agar nasib lebih 7,000 pesawah di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dibela.

Pesanan itu dinyatakan kepada cucunya, Mohamad Radzuan Rosli, 34, kira-kira 15 hari sebelum datuknya itu menghembuskan nafas terakhir pada jam 7 pagi Jumaat.

Mohamad Radzuan berkata, kesungguhan Hussein dilihat selepas beliau dikunjungi Pengerusi KADA, Muhammad Husin di kediaman tokoh terbabit di Lemal dekat sini dua bulan lalu.

“Sejak Datuk berkecimpung dalam politik bersama UMNO bermula sekitar 60-an, beliau sememangnya seorang yang lantang dan sentiasa menyuarakan kebajikan rakyat.

“Sehinggalah terakhir beliau dilantik sebagai Pengerusi KADA bermula 1990 hingga 2003, walaupun sudah lama bersara, beliau tetap mahu membantu menyelesaikan masalah pengairan yang dihadapi petani,” katanya ketika ditemui pemberita di Lemal pada Jumaat.

Menurut Mohamad Radzuan, dia juga lega apabila usahanya membuat siaran langsung di media sosial berkait isu melibatkan pesawah Kelantan terbabit mendapat perhatian banyak pihak.

“Hasrat Allahyarham tercapai apabila wakil daripada pihak kerajaan Pusat turun padang bertemu pesawah manakala kerajaan negeri melalui Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud juga sudah melawat ke kawasan Rumah Pam Kemubu baru-baru ini.

“Itu yang arwah mahukan supaya kedua-dua kerajaan ini bekerjasama dalam menyelesaikan masalah bekalan air yang sekian lama dihadapi pesawah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, rakan seperjuangan Allahyarham, Datuk Abdullah Mat Yasim, berkata, pemergian arwah merupakan kehilangan besar dalam arena politik tanah air.

Abdullah yang juga Ketua Cawangan UMNO Kepas Apam berkata, beliau pernah menjadi pegawai khas kepada Hussein semasa tokoh itu menjawat jawatan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada tahun 1987 hingga 1990.

“Saya menganggap beliau seperti seorang bapa yang sentiasa menjadi rujukan individu dan kenamaan dalam politik.

“Beliau berkeperibadian tegas tetapi sangat mudah untuk membantu orang lain,” katanya.

Hussein dibawa pulang Rabu lalu selepas lebih seminggu dirawat di wad Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) di Kubang Kerian akibat sesak nafas selain menderita penyakit Parkinson lebih 10 tahun lalu.

Ahli keluarga yang bersama-sama menghantar jenazah Allahyarham ke Tanah Perkuburan Islam Kubur Besar Bandar Pasir Mas.
Ahli keluarga yang bersama-sama menghantar jenazah Allahyarham ke Tanah Perkuburan Islam Kubur Besar Bandar Pasir Mas.

Jenazah Allahyarham disolatkan di Masjid Daudi Mukim Kuala Lemal dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kubur Besar Bandar Pasir Mas selepas solat Jumaat.

Hussein mula menyandang jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan (ADUN) pada 1969 bermula sebagai ADUN Rantau Panjang sehingga 1997 dan ADUN Gual Periok daripada 1974 hingga 1982.

Beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar Kelantan pada 1978-1982 dan dilantik sebagai ahli Dewan Negara pada 1995 selain menjawat jawatan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Terakhir, Hussein dilantik sebagai Pengerusi KADA dan beliau juga ialah Ketua Penerangan UMNO paling lama berkhidmat bermula 1982 hingga 1999.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!