Gesa tindakan tegas terhadap institusi kebajikan eksploitasi kanak-kanak - ABIM

Mohammad Saifuddin
Mohammad Saifuddin
A
A
A

IPOH - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Perak menggesa tindakan tegas diambil terhadap mana-mana institusi kebajikan yang terbukti melakukan eksploitasi terhadap kanak-kanak seperti di laporkan akhir-akhir ini.

Yang Dipertuanya, Mohammad Saifuddin Abdul Latiff berkata, pihaknya berasa amat terganggu dengan laporan berhubung dakwaan tersebut termasuk penderaan seksual terhadap kanak-kanak di dalam institusi kebajikan yang sepatutnya melindungi mereka.

Menurutnya, tuduhan tersebut merupakan satu pencabulan yang jelas terhadap hak asasi manusia dan lebih membimbangkan apabila ia dikaitkan dengan nama agama.

"ABIM Perak menyeru agar siasatan yang telus dan adil dijalankan oleh pihak berkuasa, dan sebarang pihak yang terlibat perlu diambil tindakan tegas.

"Kita mesti memastikan bahawa tidak ada pihak yang menggunakan agama sebagai justifikasi untuk tindakan yang menindas atau melanggar prinsip kemanusiaan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu, Mohammad Saifuddin turut menegaskan bahawa setiap individu atau institusi yang beroperasi atas nama agama perlu berpegang teguh kepada prinsip keadilan, integriti, dan kemanusiaan.

Jelasnya, Islam sangat menekankan keadilan, kasih sayang dan tanggungjawab terhadap golongan yang lemah termasuk kanak-kanak.

Katanya, sebarang pelanggaran terhadap hak kanak-kanak tersebut bukan sahaja bertentangan dengan undang-undang negara tetapi juga prinsip Islam yang suci.

Artikel Berkaitan:

"Nabi Muhammad SAW melalui pensyariatan di dalam al-Quran dan as-Sunnah memberikan garis panduan yang jelas bahawa kanak-kanak harus dilindungi, dijaga dan diberi pendidikan yang sewajarnya, bukan dieksploitasi atau didera.

"Kami berdiri teguh untuk menegakkan keadilan dan memperjuangkan hak-hak kanak-kanak yang telah terabai serta menyeru masyarakat agar memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam menyelesaikan kes ini," katanya.

Pada Rabu, media melaporkan seramai 402 kanak-kanak berjaya diselamatkan hasil serbuan polis ke atas 20 rumah amal dipercayai milik GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.

Mangsa terdiri 201 kanak-kanak lelaki dan 201 perempuan berusia setahun hingga 17 tahun disyaki menjadi mangsa eksplotasi, pengabaian dan penganiayaan di premis dipercayai milik sebuah kumpulan berkenaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan siasatan dijalankan mengikut Akta Kanak-kanak 2001 [Akta 611], Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 [792], Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 ATIPSOM [Akta 670].

Selain itu, selain itu siasatan di bawah kesalahan-kesalahan mengikut Kanun Keseksaan [Akta 574] dan undang-undang lain yang sedang berkuat kuasa.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!