Korea Utara dedah kompleks hasilkan nuklear

Jong-un (kiri) dibawa melihat proses dilakukan di kemudahan itu. - Foto: Agensi
Jong-un (kiri) dibawa melihat proses dilakukan di kemudahan itu. - Foto: Agensi
A
A
A

SEOUL - Korea Utara mengeluarkan imej kemudahan pengayaan uranium milik negara itu buat pertama kali yang turut memaparkan lawatan pemimpin, Kim Jong-un ke Institut Senjata Nuklear dan pusat penghasilan gred senjata bahan nuklear.

KCNA pada Jumaat melaporkan Jong-un turut menggesa peningkatan jumlah pengempar untuk pengayaan uranium bagi menambah senjata nuklear Pyongyang sebagai tujuan pertahanan diri.

“Beliau melihat sendiri bilik kawalan untuk mengetahui tentang operasi keseluruhan barisan pengeluaran bahan nuklear. Beliau juga diberi taklimat terperinci tentang proses di kemudahan itu,” jelas laporan itu lagi.

Laporan itu bagaimanapun tidak menyebut mengenai lokasi sebenar kompleks itu dan tarikh kunjungan Jong-un.

Negara Asia Timur yang pertama kali melakukan ujian nuklear pada 2006 itu tidak pernah mendedahkan butiran tentang kemudahan kontroversi berkenaan meskipun ia berulang kali membuat pelancaran peluru berpandu balistik yang disifatkan sebagai tindakan provokasi oleh negara jirannya.

Difahamkan, kompleks berkenaan menghasilkan uranium yang sangat diperkaya dengan memutarkan bahan asal dalam emparan pada kelajuan tinggi. - AFP

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!