Para Sukma 2024: Selangor buru kedudukan tiga teratas
SELANGOR menyasarkan sebanyak 82 pingat dalam misi memburu kedudukan tiga teratas pada temasya Para Sukan Malaysia (Sukma) 2024 yang dijadualkan berlangsung pada 23 hingga 28 September ini.
Jabatan Belia dan Sukan Selangor dalam satu kenyataan yakin atlet para negeri itu mampu mempamerkan prestasi yang baik setelah menjalani latihan intensif sebelum menghadapi Para Sukma ke-22 kali ini.
Menurut kenyataan itu, seramai 163 atlet negeri Selangor yang terdiri daripada atlet para (OKU), jurulatih, pengurus dan pegawai pengiring akan mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut.
"Bagi edisi Para Sukma tahun ini, kontinjen Selangor menyasarkan untuk berada di kedudukan tiga teratas dengan kutipan 82 pingat iaitu 29 emas, 24 perak dan 29 gangsa.
"Kontinjen Selangor menyertai kesemua 10 acara dipertandingkan iaitu badminton, renang, memanah, olahraga, ping pong, tenpin boling, boccia, catur, lawn ball dan powerlifting," menurut kenyataan itu pada Jumaat.
Terdahulu, Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Negeri Selangor Sempena Sukma Para Ke-22 Sarawak 2024 disempurnakan Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi.
Majlis yang berlangsung di sebuah hotel di sini turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Danial Al Rashid Haron Aminar Rashid dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Selangor, Azura Sarbin.
Dalam pada itu, rakan strategik utama Kontinjen Para Negeri Selangor iaitu Menteri Besar Incoporated (MBI) turut menyerahkan dana sumbangan berjumlah RM130,000 pada majlis tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!