Polis cekup lelaki disyaki curi kabel
JASIN - Tindakan pantas polis berjaya menahan seorang lelaki disyaki terlibat dalam kes kecurian kabel bumi milik anak syarikat kerajaan negeri Melaka di Merlimau di sini pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 pagi, pegawai dan anggota polis dari Balai Polis Merlimau telah menahan suspek berusia 26 tahun berhampiran sebuah stesen minyak di Jalan Muar-Melaka Merlimau dalam keadaan mencurigakan.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, penahanan suspek susulan laporan polis yang diterima daripada seorang pengurus operasi berhubung pencerobohan yang berlaku di pencawang telekomunikasi Jalan Melaka-Merlimau.
"Pengadu yang berada di rumah telah dihubungi seorang juruteknik syarikat mengenai pencerobohan itu sebelum bergegas ke lokasi dan mendapati pagar keselamatan telah terbuka dan terdapat unsur pencerobohan.
"Pemeriksaan lanjut mendapati kabel bumi telah dipotong dan satu unit Main Grounding Busbar (MGB) telah hilang," katanya.
Jelasnya, pengadu kemudian mengarahkan juruteknik terbabit untuk membuat pemeriksaan ke pencawang telekomunikasi lain yang berdekatan iaitu di hadapan Politeknik Merlimau.
Ujarnya, pemeriksaan lanjut mendapati kabel bumi di pencawang itu juga telah dipotong, namun ukuran panjang tidak dapat dipastikan selain dua unit MGB telah hilang.
"Pengadu kemudian hadir ke Balai Polis Merlimau dan membuat laporan polis sebelum polis menahan suspek yang disyaki terlibat dalam kecurian kabel itu," katanya.
Tambahnya, modus operandi yang digunakan suspek dengan cara membuka skru pagar keselamatan menggunakan pemutar skru dan masuk ke dalam kawasan pencawang sebelum memotong kabel bumi dengan menggunakan peralatan tajam.
Ujarnya, polis turut merampas beberapa peralatan yang disyaki digunakan bagi melakukan jenayah itu termasuk pemutar skru, pisau, sepana dan alat pemotong besi, selain sebuah kereta Perodua Axia.
"Siasatan awal mendapati kerugian dianggarkan berjumlah RM1,000 dan suspek kini direman selama empat hari bermula Jumaat untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya lagi.
Terdahulu tular gambar seorang lelaki di media sosial Facebook disyaki terbabit dalam kegiatan jenayah itu namun berjaya dicekup polis dalam tempoh beberapa jam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!