Isu GISBH sudah lama dibentang, tiada tindakan diambil - Mufti Perlis

Mohd Asri ketika sesi kuliah mingguan yang disiarkan secara langsung dari Masjid Alwi, pada Khamis.
Mohd Asri ketika sesi kuliah mingguan yang disiarkan secara langsung dari Masjid Alwi, pada Khamis.
A
A
A

KANGAR - Isu membabitkan syarikat GISB Holdings (GISBH) sudah dibentangkan kepada pelbagai pihak termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pihak penguat kuasa, namun tiada tindakan diambil.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, pihak yang membuat kajian berkaitan GISBH ini telah berusaha bertahun lamanya dan bertemu pelbagai pihak membentangkan kajian tersebut, bagaimanapun isu berkenaan tidak diangkat atas sebab tertentu.

Menurutnya, isu tersebut tidak diangkat mungkin disebabkan beberapa perkara termasuk sebahagian pihak ditemui kumpulan yang menjalankan kajian enggan mengambil risiko.

“Kemungkinan individu berkenaan tidak mempunyai jiwa besar untuk selesaikan isu ini. Sebahagian mungkin kepercayaan kumpulan ini (GISBH) ada kepada mereka atau mungkin atas sebab lain,” katanya dalam kuliah mingguan yang disiarkan secara langsung dari Masjid Alwi, pada Khamis.

Beliau yang lebih dikenali Dr Maza berkata, kumpulan yang membuat kajian itu mengambil langkah seterusnya dengan membawa kes tersebut untuk dibentangkan kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis.

“Pembentangan agak lama, sebahagian ahli Fatwa ketika dengar pembentangan tersebut daripada duduk di kerusi, bangun berdiri kerana berasa begitu ‘panas’.

“Sebahagian tengok saya dan katakan tanggungjawab kita untuk menentang perkara ini, keutamaan kita untuk hapuskan kekarutan ini,” ujarnya.

Mohd Asri turut mendedahkan telah menghantar surat kepada pemimpin GISBH untuk mengadakan pertemuan dan dimaklumkan pemimpin utama syarikat berkenaan bersetuju hadir pada pertemuan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Hari ini (semalam) kita hantar surat kepada pemimpin utama mereka untuk hadir ke Perlis 20 hari bulan. Saya akan panggil mereka, katanya mereka bersetuju hadir,” ujarnya.

Menurutnya lagi, biarpun sebahagian pihak berkuasa meminta beliau mengeluarkan fatwa berkaitan kes tersebut kerana sudah jelas hukumnya, namun Dr Maza berhasrat mengadakan pertemuan terlebih dahulu.

“Kita tahu ada risikonya. Ramai meminta saya jaga keselamatan dibimbangi wujud ancaman.

“Kita tidak ada kepentingan, sedangkan kita tahu ini bahaya, tetapi saya terpaksa sebut demi menyelamatkan umat Islam,” katanya.

Mohd Asri berkata, antara penyakit serius yang melanda negara kebelakangan ini ialah agama menjadi candu yang membodohkan akal manusia.

“Yang membolehkan memakai baju agama mengeksploitasikan harta, membuat dakwaan pelik seolah pemimpin mereka bagaikan tuhan atau malaikat. Pemikiran seperti ini ancaman negara, kita kena kawal perkara ini.

“Walaupun ramai marah pada saya, saya sudah biasa. Tanggungjawab saya untuk lindungi Islam yang sebenar,” katanya.

Sebelum ini, GISBH dipalit kontroversi didakwa mengeksploitasi kanak-kanak sebagai pekerja dalam perniagaan mereka di beberapa buah negeri.

Pada Rabu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mendedahkan, seramai 402 kanak-kanak berjaya diselamatkan hasil serbuan polis ke atas 20 rumah amal dikaitkan GISB di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.

Dalam serbuan itu, polis menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja berusia satu hingga 17 tahun, selain menahan 171 individu termasuk ustaz yang mengendalikan premis yang diserbu untuk siasatan lanjut.

Ujarnya, PDRM menerima laporan berhubung dakwaan pengabaian kanak-kanak, amang seksual dan perbuatan cabul terhadap kanak-kanak di rumah penjagaan dipercayai milik syarikat itu.

Operasi GISBH bermula selepas Darul Arqam diharamkan dan beberapa pemimpin kanannya ditahan polis pada 1994 mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Selepas pengharaman Darul Arqam, pengikut menubuhkan Rufaqa Corporation disusuli penubuhan GISB pada 2008 sebagai organisasi perniagaan berasaskan agama dengan doktrinnya masih tarekat Aurad Muhammadiah yang diharamkan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!