Muktamar Pas: Usul persijilan halal diterima tanpa dibahas

Sebahagian perwakilan Ulamak di seluruh negara hadir pada Muktamar Dewan Ulamak Pas kali ke-63 di Kompleks As-Syafie pada Jumaat
Sebahagian perwakilan Ulamak di seluruh negara hadir pada Muktamar Dewan Ulamak Pas kali ke-63 di Kompleks As-Syafie pada Jumaat
A
A
A

JERANTUT - Dewan Ulamak Pas sebulat suara meluluskan usul tanpa bahas berkaitan persijilan dan pengesahan Halal yang menjadi piawaian pilihan dalam masyarakat Islam di Malaysia.

Usul yang dikemukakan Jawatankuasa Dewan Ulama Pas Pusat (DUPP) telah diterima tanpa dibahaskan di Muktamar Dewan Ulamak Pas kali ke-63 di Kompleks As-Syafie pada Jumaat

Cadangan tersebut menekankan kepentingan persijilan halal bagi premis-premis makanan dan meminta agar ia dijadikan keperluan pelesenan di negeri-negeri SG4, iaitu negeri-negeri yang ditadbir oleh Perikatan Nasional (PN).

Dalam usul tersebut, DUPP menegaskan bahawa Malaysia merupakan salah satu pusat persijilan halal yang paling diiktiraf di peringkat global.

Persijilan halal bukan sahaja memastikan kebersihan dan jaminan bahan tetapi turut meningkatkan reputasi produk di peringkat antarabangsa termasuk di negara-negara bukan Islam.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pula, sebagai agensi yang bertanggungjawab telah memainkan peranan penting dalam mengekalkan reputasi tersebut melalui piawaian yang ketat dan integriti yang kukuh.

DUPP turut melahirkan kebimbangan terhadap beberapa kenyataan daripada pihak tertentu, termasuk pimpinan politik bukan Islam yang mempertikaikan cadangan untuk mewajibkan persijilan halal atas alasan konon ia membebankan peniaga dan boleh mencemar imej negara.

Malah usul DUPP ini juga mengkritik pandangan segelintir umat Islam yang memperlekehkan isu ini dengan alasan yang dianggap tidak munasabah.

Artikel Berkaitan:

Bagi mengatasi isu ini, DUPP mencadangkan agar negeri SG4, iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis mengambil inisiatif mendahului perlaksanaan persijilan halal secara berperingkat melalui kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Ini melibatkan premis-premis seperti restoran hotel, restoran francais, pusat penyembelihan, kedai roti, dan pasar raya.

Menurut usul ini, pelaksanaan yang dimulakan di negeri SG4 akan menjadi contoh kepada negeri-negeri lain dalam memperkukuhkan persijilan halal tanpa membebankan peniaga atau menjejaskan nama baik negara.

Cadangan ini, jika dilaksanakan dijangka dapat memperkuatkan lagi kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam industri halal dunia selain memastikan kebajikan pengguna serta peniaga dijaga dengan adil dan saksama.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!