Dewan A: Lawati MAHA 2024 dalam tempoh 2 jam
SERDANG - Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 menampilkan kelainan dengan membawakan konsep Best of The Best di Dewan A, Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).
Setiausaha Bahagian, Bahagian Industri Makanan dan Asas Tani (BIMAT), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Muhammad Ammir Haron berkata, ruangan berkenaan seumpama ‘mini MAHA’ kerana ia mengumpulkan tarikan paling menarik di bawah satu bumbung.
Menurutnya, sebelum ini pengunjung memerlukan masa berhari-hari jika mahu melawat keenam-enam zon pameran yang berkeluasan 129 hektar itu.
“MAHA 2024 sememangnya lain dengan pameran sebelum ini kerana menampilkan konsep Best of The Best. Dahulu jika mahu melihat penanaman nanas, pengunjung perlu ke laman nanas, namun kini tidak lagi kerana kita bawa nanas masuk ke dalam dewan.
“Secara keseluruhan, Dewan A ini untuk pengunjung yang tidak mempunyai masa bagi melawati keenam-enam zon yang ada di sini,” katanya ketika ditemui di ruangan media MAEPS, pada Khamis.
Sementara itu, Muhammad Ammir memberitahu, ruangan berkenaan turut membawakan pengalaman seperti berada di taman tema dengan menampilkan pelbagai aktiviti interaktif.
Tambahnya, aktiviti yang disediakan itu percuma dan boleh disertai oleh pelbagai lapisan umur.
“Di Dewan A ini, kita ada zon kanak-kanak yang mana mereka boleh bermain permainan video pertanian sementara ibu bapa mendapatkan informasi di ruangan berhampiran.
“Bukan itu sahaja, ruangan ini turut membuka peluang kepada pengunjung dewasa untuk merasai pengalaman mengendalikan jentera penuai padi. Semua pengalaman ini adalah percuma,” ujar Muhammad Ammir.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa susun atur pameran di Dewan A turut berbeza dengan pertunjukan sebelumnya.
Jelasnya, dahulu MAHA menampilkan susun atur mengikut kategori pempamer penjual, namun kini diubah berdasarkan kandungan yang dibawa.
Muhammad Ammir berkata, susun atur di Dewan A itu dimulakan dengan reruai mengenai pembenihan kepada pengeluaran sebelum diakhiri dengan peruncitan.
“Sebaik sahaja pengunjung masuk ke Dewan A ini, mereka akan melalui fasa pertama dalam proses penanaman, penternakan mahupun perikanan.
“Sebagai contoh, dalam satu segmen seperti tanaman cili, jagung dan bawang, kita kumpulkan pelbagai agensi seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Jabatan Pertanian dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).
“Kemudian, diikuti dengan fasa seterusnya dan diakhiri ruangan pembelian seakan kedai cenderamata di taman tema. Kaedah pameran ini secara tidak langsung mengurangkan kesesakan dan membolehkan orang ramai membuat pembelian dengan selesa di akhir pameran,” katanya.
22 teknologi terkini
Pada masa sama, Muhammad Ammir memaklumkan, pameran di Dewan A itu turut membawakan 22 teknologi terkini dalam bidang pertanian dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan sebagainya.
Bukan itu sahaja, beliau memberitahu MAHA 2024 turut buat pertama kalinya menampilkan beberapa segmen baharu seperti ‘Agro-Finance’, ‘Agro-Biz Tech’ dan ‘Agro-Biz to Biz’.
“Kita tahu bahawa pertanian itu perniagaan. Jika mahu memulakan perniagaan ia memerlukan modal. Jadi di Dewan A, kita mengumpulkan pelbagai pihak yang boleh menawarkan pinjaman, geran dan pembiayaan.
“Bukan itu sahaja, di segmen Agro Biz Tech menampilkan teknologi yang dijual oleh syarikat swasta kepada mana-mana pengusaha pertanian,” jelas beliau.
MAHA 2024 bermula pada 11 September sehingga 22 September ini antara lain turut menekankan elemen yang mengangkat MAHA ke peringkat antarabangsa dengan penglibatan daripada pelbagai negara menerusi segmen MAHA Go Global.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!