Nahas empat kenderaan di persimpangan lampu isyarat
PASIR GUDANG - Dua cedera manakala tiga lagi selamat dalam nahas melibatkan empat kenderaan di persimpangan lampu isyarat Jalan Persiaran, Kawasan Perindustrian Pasir Gudang, pada petang Sabtu.
Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan II, Ramli Hamid, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan berkenaan pada jam 2.49 petang.
Katanya, sebaik menerima panggilan tersebut, satu pasukan keluaran operasi (PKO) melibatkan jentera Fire Rescue Tender (FRT) dengan enam anggota dari BBP Pasir Gudang telah dihantar ke lokasi.
“Setibanya PKO ke lokasi, didapati kemalangan tersebut melibatkan sebuah lori tangki jenis Volvo, sebuah lori tangki jenis Scania, sebuah kereta jenis Proton Saga dan sebuah kereta jenis Perodua Viva.
“Tiada mangsa yang tersepit akibat kemalangan tersebut namun seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang menaiki kereta Proton Saga dan seorang lelaki berusia 58 tahun (pemandu Perodua Viva), didapati cedera.
“Mangsa yang cedera kemudiannya diserahkan kepada pegawai perubatan di lokasi untuk tindakan lanjut,” katanya.
PKO kemudiannya melakukan kerja-kerja pembersihan dan kesan kemalangan di lokasi.
Operasi ditamatkan pada jam 3.53 petang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!