104 aset, 920 anggota APM siap siaga hadapi MTL

Kesemua peserta Latihan Persediaan Monson Timur Laut 2024 bergambar selepas sesi latihan terbabit pada Khamis.
Kesemua peserta Latihan Persediaan Monson Timur Laut 2024 bergambar selepas sesi latihan terbabit pada Khamis.
A
A
A

BACHOK - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan bersiap siaga menggerakkan 104 aset logistik dan 920 anggota dalam menghadapi segala kemungkinan bencana sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) yang diramal awal bulan depan.

Pengarah APM Kelantan, Mohd Adzhar Mujab berkata, aset itu merangkumi kenderaan air dan darat termasuk 60 bot, lori dan pacuan empat roda yang baru diterima pihaknya untuk kegunaan kesemua 10 daerah di negeri itu.

“Di tiap-tiap daerah memang dibekalkan antara empat hingga lima bot selain kenderaan pacuan empat roda yang akan digunakan sebaiknya termasuk jika berlaku bencana luar jangka.

“Semua aset ini kita sudah pastikan dapat berfungsi dalam keadaan baik melalui kerja-kerja pembaikian yang selesai kami jalankan diikuti pemeriksaan berkala,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penutup Latihan Persediaan Monson Timur Laut 2024, di Pantai Irama, di sini, pada Khamis.

Mohd Adzhar (enam dari kiri) melihat dan menunjukkan cara-cara bantuan pernafasan kecemasan kepada peserta latihan di Bachok.
Mohd Adzhar (enam dari kiri) melihat dan menunjukkan cara-cara bantuan pernafasan kecemasan kepada peserta latihan di Bachok.

Menurut beliau, seramai kesemua anggota dan sukarelawan yang berdaftar dengan agensi itu terlibat dalam menjalani latihan kesiapsiagaan banjir untuk memastikan semuanya dapat berjalan dengan lancar.

Latihan itu juga dibuat lebih awal berbanding pada November tahun lalu dan dilaksanakan mengikut daerah atau gabungan antara daerah.

Artikel Berkaitan:

“Latihan persiapan memasuki kali ketiga selepas dilaksanakan di Tumpat, Jeli Kuala Krai sebelum ini.

“Semua anggota-anggota dan sukarelawan dikumpulkan serta berkongsi maklumat selain dipastikan mempunyai keyakinan tinggi apabila berdepan dengan situasi bencana,” ujarnya.

Demonstrasi menyelamat mangsa lemas dilakukan semasa Latihan Persediaan Monson Timur Laut 2024, di Pantai Irama, Bachok.
Demonstrasi menyelamat mangsa lemas dilakukan semasa Latihan Persediaan Monson Timur Laut 2024, di Pantai Irama, Bachok.

Dalam pada itu, Mohd Adzhar berkata, kawasan Rantau Panjang di Pasir Mas menjadi ‘hot spot’ MTL berdasarkan keadaan bencana yang berlaku pada tiap-tiap tahun sebelum ini.

“Beberapa tempat di Pasir Mas termasuk Rantau Panjang ini dilihat air naik lebih awal dan diberikan lebih tumpuan oleh pihak kami.

“Bagaimanapun, jumlah keseluruhan ‘hot spot’ akan diumumkan kemudian dalam mesyuarat yang akan diadakan selepas ini membabitkan kesemua agensi yang terlibat dengan MTL,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!