MAHA 2024: Mat Sabu arah sedia tempat solat selesa buat jemaah
SHAH ALAM - Penyediaan tempat solat Jumaat yang diuruskan pihak Sekretariat Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA 2024) tidak selesa menyebabkan jemaah terpaksa berpanas.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengarahkan pihak terbabit untuk menyediakan dan mengubah ruang solat Jumaat ke lokasi lain yang lebih selesa serta besar.
Menurutnya, ia berikutan pengunjung MAHA 2024 akan lebih ramai pada minggu hadapan.
“Bang Mat sangat tak berpuas hati dengan penyediaan tempat solat Jumaat hari ini yang diuruskan oleh pihak Sekretariat MAHA 2024.
“Tadi Bang Mat dah arahkan supaya tempat solat yang lebih besar dan selesa disediakan untuk hari Jumaat depan yang dijangka akan dilimpahi lebih ramai jemaah,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Mohamad memohon maaf kepada jemaah solat Jumaat kerana mengetahui perkara tersebut ketika hampir masuk waktu.
Beliau memaklumkan tidak sempat untuk meminta pihak Sekretariat mengubah tempat solat ke lokasi berbeza.
“Semoga insiden ini menjaga pengajaran kepada pihak Sekretariat MAHA supaya tidak berulang di masa hadapan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!