Ekonomi, kos sara hidup isu utama belia - Adam Adli
KOTA BHARU - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengenal pasti ekonomi, keusahawanan dan kos sara hidup antara isu utama belia di negara ini.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim berkata, KBS tidak hanya menumpukan kepada program semata-mata yang bersifat gaya hidup tetapi berusaha menyelesaikan masalah golongan itu secara lebih holistik.
"Selain isu itu, isu sebenar yang perlu banyak diberi perhatian ialah peluang kerjaya dan kepimpinan pada masa depan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi townhall bersama belia seluruh negeri sempena Program Kembara Orang Muda di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Exco Belia, Sukan dan NGO, Zamakhshari Muhamad dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim.
Dalam pada itu, Adam Adli memberitahu, sebanyak 13 siri Kembara Orang Muda di seluruh negara kementerian itu dapat membimbing persatuan belia di seluruh negara untuk melaksanakan satu transisi.
Jelas beliau, setakat ini banyak persatuan belia yang sudah mengubah kepimpinan termasuk merekrut pemimpin baharu.
"Ada juga persatuan yang berdepan isu yang lebih besar termasuk membabitkan perundangan dan perlembagaan dan pengurusan aset.
"Bukan mudah juga untuk kita memberi cadangan supaya memberi jawatan kepada mereka yang berusia di bawah 3o tahun sahaja boleh memegang jawatan tanpa melihat isu-isu tertentu," katanya.
Beliau turut memaklumkan, pada masa sama KBS akan merungkaikan beberapa isu di bawah kementerian terbabit yang ditimbulkan oleh beberapa pihak.
"Kita mungkin mengambil masa dan tenaga untuk merungkai gosip yang pernah ditimbulkan supaya proses transisi berlaku dengan lancar," katanya.
Kembara Orang Muda merupakan program anjuran KBS di seluruh negara bertujuan bertemu dan berdialog bersama belia dan akan berakhir di Terengganu pada Sabtu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!