Taufan Yagi luar biasa badai ASEAN
VIETNAM - Taufan Yagi yang mengganas di beberapa negara Asia Tenggara antaranya Filipina, Vietnam, Thailand termasuk China telah menyebabkan berlakunya kemusnahan dahsyat.
Menurut laporan media antarabangsa, Vietnam antara negara yang terjejas teruk apabila dilaporkan taufan itu telah meragut nyawa hampir 226 orang sehingga Khamis.
Keadaan bertambah teruk memandangkan ia dipercayai taufan paling kuat pernah melanda utara Hanoi dalam tempoh kira-kira 30 tahun.
Bencana itu juga menyebabkan sebilangan sungai di utara Vietnam meningkat kepada paras bahaya.
Sementara itu, pakar alam sekitar percaya ribut ganas dalam tempoh beberapa dekad itu adalah satu lagi impak fenomena pemanasan global yang mungkin menjadikan taufan tropika lebih kuat.
Air yang lebih panas dan udara lembap yang terhasil daripada pemanasan global menyebabkan taufan tropika dan ribut lain.
Ribut tropika Yagi bertukar kepada taufan dan mempunyai kelajuan tiupan angin 130 kilometer sejam (km/j), malah boleh mencecah 157km/j, menurut Pusat Amaran Bersama Taufan.
Di Filipina, angka korban banjir dan tanah runtuh akibat Taufan Yagi mencecah 16 orang setelah ia melanda negara tersebut awal bulan lalu.
Di Thailand pula, sekurang-kurangnya empat orang dilaporkan maut dalam kejadian banjir dan tanah runtuh selepas Yagi membadai utara negara tersebut.
Memetik laporan tempatan, ia melibatkan dua mangsa di Chiang Mai dan dua lagi di Chiang Rai.
Pada awal Ogos, Yagi telah mengganas di China dan menyebabkan pemerintah melancarkan pemindahan segera lebih 200,000 penduduk selepas taufan tersebut membadai pantai timur negara itu.
“Yagi melanda wilayah Zhejiang lewat malam tadi, membawa angin sehingga 102km/j.
“Seramai 204,949 penduduk di 10 bandar termasuk Taizhou, Zhoushan dan Wenzhou terpaksa dipindahkan. Hampir 21,000 bot nelayan diarah berpatah balik ke pelabuhan,” kata agensi berita Xinhua memetik kenyataan ibu pejabat kawalan banjir wilayah berkenaan.
Susulan impak Yagi yang membinasakan, ASEAN telah menyatakan solidariti dengan negara terjejas.
Menteri-menteri Luar ASEAN pada Rabu menzahirkan rasa dukacita dan simpati terhadap kemusnahan harta benda yang teruk termasuk hasil pertanian akibat Yagi.
“ASEAN menegaskan solidariti dengan kerajaan dan rakyat negara-negara yang terjejas serta yakin mereka akan dapat mengatasinya dan pulih dengan segera daripada kesan bencana ini.
“Kami bersedia untuk menghulurkan kerjasama dan sokongan terhadap usaha penyampaian bantuan termasuk melalui Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan bagi Pengurusan Bencana ASEAN (AHA Centre),” lapor VNA yang memetik kenyataan bersama Menteri Luar itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Kedutaan Vietnam di Jepun melancarkan kempen pengumpulan dana bagi membantu mangsa di negara itu.
Selain itu, beberapa negara termasuk Australia, Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) turut menghantar bantuan ke Vietnam. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!