Wajibkan sijil halal, apa kata rakyat?
INISIATIF Menteri Agama, Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang mahu mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan di negara ini memiliki sijil halal mencetuskan pelbagai reaksi daripada banyak pihak.
Ia susulan agensi agama terbabit pada minggu lalu mengeluarkan kenyataan menamakan lima restoran terkenal yang sering dikunjungi orang ramai tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) berdasarkan semakan status di portal MYeHALAL Jakim.
Bagaimanapun, cadangan itu disanggah oleh ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang mendakwa ia berpotensi menambah beban kepada pemilik perniagaan termasuk pengusaha restoran Melayu selain mungkin dijadikan bahan ejekan negara luar.
Bagaimana pula dengan pandangan rakyat? Apa kata mereka mengenai cadangan mewajibkan sijil halal ke atas semua premis perniagaan di negara ini? Ikuti perkongsian mereka dalam Debat Rakyat.
SETUJU
Prospek perniagaan lebih cerah
Tidak dinafikan, sudah banyak kali isu pensijilan halal ini timbul tetapi saya pelik mengapa ada pihak yang takut dengan pengiktirafan halal?
Saya ada kawan berbangsa Cina yang mempunyai restoran diiktiraf halal oleh Jakim. Beliau sanggup memohon sijil berkenaan walaupun prosesnya agak renyah sebagaimana didakwa oleh sesetengah pihak.
Halal bukan hanya terhad untuk makanan yang dijual, malah ia merangkumi keseluruhan proses. Dari aspek penggunaan bahan mentah hingga ke penyediaan, pembungkusan, perkakas digunakan dan lain-lain.
Mereka yang kurang memahami tentang pensijilan halal tidak boleh sesuka hati melontarkan komen negatif.
Proses permohonan paling cepat pernah saya lihat adalah sekitar dua hingga empat bulan mengikut pengalaman seorang sahabat yang juga peniaga kek lapis.
Justeru, jangan pernah berfikir bahawa pengiktirafan halal ini membebankan. Belum pernah lagi saya dengar sahabat bukan Islam saya yang berniaga berkata demikian.
Sebaliknya, semua berebut-rebut mahu mendapatkan sijil halal. Ia bukan sahaja menguntungkan malah mempunyai prospek perniagaan yang cerah.
- Pengusaha kedai kek, Siti Zulaikha Olivia, 44 tahun.
Jaminan kepada pelanggan Muslim
Memang proses untuk mendapatkan sijil halal dari Jakim sukar untuk dilaksanakan, namun ia memberikan kelegaan kepada umat Islam di negara ini.
Ia sebagai satu jaminan kepada pelanggan bahawa produk yang dijual menepati piawaian dan syarat halal dari segi syariat, keselamatan dan kebersihan.
Masyarakat beragama Islam tidak perlu berasa was-was untuk makan di restoran yang memiliki sijil halal walaupun diusahakan oleh bukan Islam kerana proses penyediaan atau pengurusan dari A hingga Z diyakini dan diperakui oleh Jakim.
Konsep halalan toyyiban sudah lama dititikberatkan dalam kalangan orang Islam. Sekarang ini, pemilik restoran bukan Muslim pula berebut-rebut untuk mendapatkan sijil halal disebabkan pasaran yang luas dan berkembang.
Mereka pun tahu memiliki sijil halal mampu meningkatkan permintaan dan penawaran bukan sahaja dalam kalangan rakyat Malaysia, malah masyarakat Islam di seluruh dunia.
Justeru, cadangan mewajibkan pensijilan halal bagi restoran atau syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi serta alkohol wajar disambut baik semua pihak, lebih-lebih lagi ke atas premis perniagaan yang sudah lama beroperasi.
Ia wajar diambil kira demi menjaga kemaslahatan umat Islam di negara ini. Tambahan pula, kebanyakan pelanggan mereka adalah orang Islam.
- Peniaga, Arif Aiman Ab Jamal, 28 tahun.
TIDAK SETUJU
Terpulang untuk mohon sijil halal atau tidak
Pengiktirafan sijil halal untuk restoran memang tidak dinafikan bagus tetapi tidak wajib dipohon kerana terlalu banyak prosedur perlu dipatuhi seperti penggunaan bahan masakan, kebersihan premis dan pekerja beragama Islam.
Bagaimanapun, selagi ramuan masakan yang digunakan berasaskan sumber halal walaupun tiada sijil Jakim ia tetap halal dimakan kecuali sah mengandungi bahan haram atau maklumat tidak jelas.
Jadi, pelanggan tiada hak untuk menuduh mana-mana restoran yang tidak mempamerkan sijil halal itu menjual makanan tidak halal.
Namun, tidak salah jika pelanggan mempunyai rasa curiga atau syubhah. Oleh yang demikian, bertanya itu lebih baik sebelum memakan sesuatu hidangan yang dijual.
Sebagai contoh makanan di restoran mamak. Ada antara restoran yang tidak mempunyai status halal sedangkan mereka layak untuk memohon tetapi masih ramai pelanggan setia yang membeli di restoran terbabit.
Berbeza dengan dengan gerai nasi berlauk tepi jalan, pengusahanya sudah tentu tidak layak memohon kerana antara syarat mendapatkan sijil halal adalah perlu ada premis.
Justeru, sijil halal Jakim adalah alternatif buat pengusaha restoran. Terpulang kepada mereka sama ada mahu memohon atau tidak. Selebihnya, pilihan pelanggan untuk makan di mana terletak di tangan masing-masing.
- Pekerja swasta, Syaznur Hakim Janal, 27 tahun.
Bukan wajib, hanya sukarela
Pada pandangan saya, tiada sijil halal bukan bermaksud ia haram untuk dimakan. Sebenarnya Islam itu mudah tapi fikiran segelintir umat yang merumitkannya.
Kalau timbul rasa was-was apabila ingin makan di sesebuah premis tanpa sijil halal, jangan masuk dan cari kedai lain.
Apabila sudah terbit syubhah, makanan disediakan haram dimakan. Itu sahaja konsep yang perlu disematkan dalam fikiran.
Secara peribadi, bukanlah menolak keperluan mendapatkan sijil halal kerana berbalik kepada pengusaha sama ada mahu memohon atau tidak.
Namun, kelayakan untuk memilikinya juga menjadi ukuran meskipun ia tidak wajib, hanya sukarela.
Mujur ia tidak diwajibkan kerana sekiranya betul-betul berlaku, maka golongan peniaga kecil Melayu Islam pula yang terkesan.
Itu belum lagi termasuk sesetengah pengusaha yang sering menggunakan alasan ‘sedang dalam proses’ permohonan sijil meskipun sudah bertahun-tahun beroperasi.
Pihak berkuasa tempatan mungkin menggunakan kesempatan ini untuk menaikkan harga lesen kepada pengusaha kecil sehingga mengganggu kos pengurusan lain.
- Pelajar, Nur Syamimi Balqis Mohamad Zaini, 26 tahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!