'Gembira tengok abah senyum dapat komputer riba idaman'
SHAH ALAM - Apabila tiba tarikh ulang tahun kelahiran insan tersayang, pelbagai cara sambutan dilakukan sebagai tanda penghargaan.
Begitu dengan seorang wanita ini, Raihana Roslan, 27, yang berkongsi detik kebahagiaan bapanya apabila menerima hadiah kejutan daripada anak-anak.
Menerusi perkongsian video di TikTok miliknya, jelas kelihatan bapanya sangat teruja untuk membuka bungkusan yang diterima.
Apabila berjaya membuka bungkusan tersebut, dapat dilihat raut wajah si bapa terkejut dan seperti tidak percaya sebuah komputer riba idaman ada di depan matanya.
Ujar Raihana, hadiah berkenaan merupakan hasil perkongsian tiga beradik bersempena hari lahir bapa mereka ke-61.
"Abah memang sudah banyak kali mengadu kepada kami komputer ribanya tidak cukup ruang simpanan data dan tidak boleh dikemaskini. Dia tidak minta tapi sekadar memberitahu.
"Kami rasa kasihan, sebelum ini kami tidak pernah memberi barangan mewah buat abah. Selalunya hanya kek dan bunga. Abah pula jenis tidak kisah dengan hadiah. Sekarang kami bertiga sudah bekerja, inilah masa sesuai gantikan komputer riba abah," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Tambah Raihana, mereka sangat gembira apabila melihat reaksi bapanya sedemikian.
Ujarnya, idea kakak sulungnya itu berjaya membuatkan bapa mereka mengukir senyuman kebahagiaan yang sangat bermakna.
"Terima kasih kerana menjadi ayah terbaik di dunia. Kami sangat sayang awak abah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!