Tarian singa kini 'milik' semua kaum
SEREMBAN - Tarian singa kini bukan lagi eksklusif kepada masyarakat Tionghoa sahaja tetapi kini turut menarik minat kaum lain.
Tertarik dengan tarian tradisional dalam adat warisan masyarakat Cina itu, remaja lelaki berbangsa India di Seremban, K Harish Kanna, 19, menyertai Kelab Tarian Singa dan Naga Ching Wan di Seremban sejak berusia 13 tahun.
Minatnya mula berputik sejak kecil selepas sering menyaksikan tarian tersebut di kawasan kejiranannya setiap kali sambutan Tahun Baharu Cina.
Menurut Harish, melihat aksi tangkas penari yang melompat dari satu tiang ke satu tiang sangat mengujakan.
“Jadi dari situ minat itu datang dan apabila saya tahu ada persatuan tarian singa di sekolah, saya terus sertai.
“Apabila tamat Tingkatan Lima, saya ambil peluang untuk aktif dalam kelab ini di luar sekolah dengan menerima jemputan membuat persembahan di pelbagai majlis,“ katanya kepada Sinar Harian.
Remaja itu berkata, ketika awal menyertai kelab itu, dia hanya diberi peranan bermain alat muzik sebelum beralih kepada singa.
Tambahnya, tidak sukar untuk menguasai tarian singa tetapi memerlukan kekuatan fizikal dan semangat berpasukan.
“Bagi saya, tarian singa ini telah jadi tarian semua kaum dan dalam kelab ini, ada lagi beberapa ahli berbangsa India dan Melayu.
“Walaupun majoritinya kaum Cina tetapi saya langsung tak rasa tersisih, malah mereka melayan saya dengan baik. Kami seperti satu keluarga,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Kelab Tarian Singa dan Naga Ching Wan, Ng Kin Wai, 36, berkata, penglibatan kaum lain dalam tarian singa mencerminkan perpaduan di negara ini.
“Semua kaum boleh sertai kelab ini, yang penting minat dan kami sangat terbuka.
“Sebenarnya apabila ada penglibatan daripada kaum-kaum lain dalam seni tarian kaum Cina, ia menjadikan kelab kami lebih menarik, malah kami dapat idea-idea baharu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!