Peserta RXZ Members 6.0 ditipu scammer 'homestay'
KUALA TERENGGANU - Kegembiraan konvoi penunggang motosikal RXZ dari Negeri Sembilan menuju ke Terengganu untuk menyertai RXZ Members 6.0 bertukar duka apabila menjadi mangsa penipuan scammer yang menawarkan penginapan di sebuah inap desa di sini.
Seorang peserta, Adli Ismail, 31, berkata, hasrat untuk berehat sebaik tiba di Terengganu setelah menempuh perjalanan yang panjang terbantut selepas mendapati rumah inap tersebut sudah didiami oleh penginap lain.
"Saya menempah rumah inap desa itu menerusi Facebook pada bulan lepas dan telah membayar sejumlah RM1,800 untuk menginap selama dua malam di rumah dua tingkat yang besar dan luas memandangkan jumlah (konvoi) yang pergi adalah ramai melibatkan seramai 26 orang.
"Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian pada jam 12 tengah hari semalam, kami mendapati rumah inap itu sudah didiami peserta RXZ Members lain.
"Setelah diselidiki, rupanya kami sudah ditipu oleh scammer yang menyamar menjadi pemilik rumah inap sebenar dengan menggunakan gambar rumah inap desa yang sememangnya wujud," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Adli berkata, dia dan rakan-rakannya reda dengan kejadian menimpa mereka selain tidak bercadang untuk membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
"Perkara yang berlaku kami anggap sebagai dugaan dan pengalaman bercuti selain ia bukanlah pengakhiran sebagai 'budak motor'. Kami reda serta niatkan sedekah kepada 'scammer' itu.
"Perkara ini dijadikan pengajaran selain menasihatkan kepada orang ramai yang ingin menempah rumah inap supaya lebih berwaspada terutama berurusan di media sosial supaya tidak tertipu," ujarnya.
Bagaimanapun, dia turut memuji dan terharu atas kebaikan serta layanan penduduk di Terengganu yang telah membantu mereka mendapatkan tempat penginapan lain.
"Alhamdulillah, ketika kami berada di kedai makan, ramai penduduk kampung di situ bertanyakan tentang masalah kami dan mereka cuba membantu kami.
"Lebih terharu penduduk Terengganu siap masakkan makanan untuk kami sementara kami menunggu mendapatkan rumah inap yang lain.
"Kami rancang untuk tidur di masjid sekiranya tidak mendapat penginapan tetapi atas kebaikan dan jasa orang Terengganu yang tolong kami akhirnya kami dapat penginapan lain untuk didiami selama dua malam nanti.
"Kami sangat terharu dan kebaikan atas layanan orang-orang Terengganu. Benarlah slogan negeri ini iaitu negeri Terengganu cantik, budaya menarik, orangnya baik-baik dan kami cukup jatuh cinta dengan negeri ini," ujarnya.
Sebelum ini tular di grup Kuala Nerus, seorang pemilik akaun Facebook bernama Norlia Kamal memuat naik hantaran untuk mencari rumah inap desa yang masih mempunyai kekosongan susulan terdapat peserta RXZ Members 6.0 yang ditipu oleh scammer.
"Anda semua, ada tahu mana-mana rumah inap desa yang masih kosong lagi.
"Kasihan terhadap peserta RXZ Members kena scam dan ditipu oleh scammer homestay. Mereka kata nak tidur di masjid. Kalau tahu (rumah inap desa kosong) boleh kongsi," kata Norlia Kamal.
Situasi itu mendapat perhatian netizen yang turut sama membantu berkongsikan senarai rumah inap desa yang masih ada kekosongan di negeri ini selain mengecam tindakan scammer tersebut yang telah memburukkan nama Terengganu.
"Ada juga orang yang buat busuk nama Terengganu dan sanggup aniaya orang... semoga dipermudahkan urusan bagi mereka (ditipu scammer)," komen Wan Shahrul.
"Ramai yang kena scam. Kasihan pada mereka yang datang dari jauh-jauh dan tak ada tempat penginapan," kata Rusini Hasini.
"Kasihan kepada mereka. Semoga dipermudahkan segala urusan," kata Che Nur Izzatie.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!