UNITEN juara baru bola jaring SUKIPT, kejutkan UiTM

UNITEN juara baru bola jaring SUKIPT UUM 2024.
UNITEN juara baru bola jaring SUKIPT UUM 2024.
A
A
A

UNIVERSITI Tenaga Nasional (UNITEN) melakukan kejutan pada final bola jaring Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) Universiti Utara Malaysia (UUM) 2024 apabila menewaskan juara bertahan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) 30-29.

Pasukan yang hadir dengan motto UNITEN Thunder itu berjaya memberikan tekanan kepada lawannya sehingga menang dengan keputusan tipis.

Jurulatih bola jaring UNITEN, Nooraliza Azami berkata, sasaran pasukannya sebelum kejohanan ini adalah dapat melangkah ke peringkat separuh akhir sahaja.

Namun kesungguhan yang ditunjukkan oleh semua pemainnya berjaya melepasi sasaran sehingga mara ke ke peringkat akhir biarpun diberi tentangan sengit sejak peringkat suku akhir.

"Apabila berjaya masuk ke final, kami menganggapnya sebagai satu bonus.

"Dengan enam pemain yang beraksi dalam kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) baru-baru ini dan saya sebagai jurulatih kita telah menggabungkan mereka dengan pemain-pemain lain yang kini berada dalam tahun dua pengajian.

"Saya menghargai usaha semua pemain kerana mereka kini berada dalam peperiksaan akhir.

"Mereka mampu membahagikan masa dan menguruskan masa latihan dan belajar dengan baik dan hasilnya kami dapat menghasilkan emas buat pertama kali untuk UNITEN," katanya pada petang Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Kejayaan UNITEN pada kejohanan itu lebih manis apabila pemain 'goal attack' (GA), Nursolieha Alieya Hizal diumumkan sebagai atlet bola jaring terbaik acara akhir dan berjaya membawa pulang hadiah RM200.

Nursolieha Alieya semasa ditemui menganggap dirinya meraih kejayaan berganda kerana sama sekali tidak menjangkakan nama diumumkan sebagai atlet terbaik bola jaring di SUKIPT kali ini.

Menurutnya, kejayaan meraih pingat emas ini cukup bermakna buat dirinya dan juga atlet universiti itu kerana sudah lama UNITEN tidak menghantar pasukan bola jaring ke temasya tersebut.

"Kami cuba buat yang terbaik selain banyak berdoa dan berusaha untuk sampai ke masa penamat perlawanan bagi memastikan kami memenangi perlawanan ini.

"Kejayaan ini juga didorong oleh pengalaman yang saya dan beberapa pemain lain lalui dalam kejohanan Sukma baru-baru ini dan ianya turut membantu kemenangan ini," ujarnya yang membantu Kontinjen Wilayah Persekutuan meraih pingat emas pada Sukma Sarawak 2024.

Sementara itu, pingat gangsa pula menjadi milik Universiti Putra Malaysia (UPM) yang menewaskan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) 42-29 pada penentuan tempat ketiga dan keempat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!