Agong, Raja Permaisuri berangkat ke Istiadat panji-panji

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan memberi tabik hormat kepada perarakan panji-panji semasa Istiadat Perarakan Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda di Dataran Pahlawan, Presint 1, pada Sabtu. Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah. Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan memberi tabik hormat kepada perarakan panji-panji semasa Istiadat Perarakan Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda di Dataran Pahlawan, Presint 1, pada Sabtu. Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, pada Sabtu berkenan berangkat ke istiadat mengarak Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong di Dataran Pahlawan Negara di sini.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua pada jam 8.30 pagi disambut dengan alunan lagu Negaraku, disusuli formasi terbang lintas hormat lima pesawat helikopter EC725A, Agusta 109 dan Fennec milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang diketuai Mejar Mohd Fazruzaman Md Faril dari Skuadron 10 TUDM.

Kesemua pesawat berkenaan membawa lima bendera iaitu Jalur Gemilang, ATM, Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), disusuli 21 das tembakan kehormatan oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat) yang diketuai Mejar Hafizan Mat Ghani.

Sultan Ibrahim kemudiannya memeriksa perbarisan terdiri daripada 25 pegawai dan 503 anggota lain-lain pangkat dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM diketuai Pegawai Memerintah Batalion ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja Leftenan Kolonel Muhammad Firdaus Sa’ad.

Keadaan cuaca cerah dengan suhu sekitar sekitar 26 darjah celcius mengiringi perbarisan yang berlangsung hampir sejam itu yang turut menampilkan acara gabungan Pancaragam Pusat ATM di bawah pimpinan Leftenan Kolonel Muhamad Nor Azizan Yahya dengan persembahan lagu-lagu patriotik.

Usai pemeriksaan barisan, gabungan Pancaragam Pusat ATM masuk membuka medan sekali gus istiadat mengarak lima Panji Yang di-Pertuan Agong menyusul dengan penuh istiadat ketenteraan.

Lima Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong diarak ialah Panji-Panji Rejimen Askar Melayu, Rejimen Renjer Diraja, Kor Armor Diraja, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia.

Panji-Panji adalah suatu penghormatan negara yang dianugerahkan oleh Yang di-Pertuan Agong kepada Rejimen/Kor dari Perkhidmatan Tentera Darat, Perkhidmatan Tentera Laut dan Perkhidmatan Tentera Udara.

Artikel Berkaitan:

Istiadat diakhiri dengan laungan 'Daulat Tuanku' sebanyak tiga kali oleh anggota perbarisan dan bacaan doa yang dipimpin Ketua Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera Mejar Jeneral Datuk Mohd Rashidi Bujai.

Sultan Ibrahim sekali lagi menerima lintas hormat oleh kelima-lima pesawat ATM sebelum Seri Paduka Baginda berdua berangkat meninggalkan majlis itu pada jam 9.25 pagi.

Turut hadir ke istiadat berkenaan ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Perdana Menteri; Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Mohammad Ab Rahman.

Istiadat berkenaan diadakan tiga kali dalam tempoh lima tahun pemerintahan bagi setiap Raja Melayu yang dilantik sebagai Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong iaitu bagi tahun pertama, tahun ketiga dan tahun terakhir pemerintahan.

Istiadat itu merupakan majlis terakhir daripada enam acara yang dijadual berlangsung bermula 2 Jun lepas hingga hari ini, sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong pada 3 Jun lepas. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!