Latar belakang pendidikan SJKC jadikan Syed Hussien pilihan lebih ideal - Zahid

Ahmad Zahid ketika ditemui pemberita selepas pengumuman calon PRK DUN Mahkota, di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini pada Sabtu.
Ahmad Zahid ketika ditemui pemberita selepas pengumuman calon PRK DUN Mahkota, di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini pada Sabtu.
A
A
A

KLUANG - Calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah yang mempunyai latar belakang pendidikan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) menjadi antara kelebihan buat Kerajaan Perpaduan untuk mengekalkan kerusi yang disandang.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, bersandarkan itu juga, beliau yakin BN telah mengemukakan calon terbaik.

Menurutnya, terdapat hampir 35 peratus pengundi DUN Mahkota terdiri daripada kaum Cina yang perlu disantuni dalam usaha mendapatkan sokongan untuk BN.

"Bukan hanya muda, tapi berpendidikan SJKC. Beliau mempunyai pemahaman terhadap budaya, bahasa dan cara berfikir orang Cina.

"Sebagai ketua pemuda beliau bukan hanya mendapat sokongan pengundi muda, tapi turut menyantuni pengundi berusia lebih 40 tahun," katanya kepada pemberita selepas pengumuman calon PRK DUN Mahkota, di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini pada Sabtu.

PRK DUN Mahkota diadakan berikutan berlaku kekosongan luar jangka kerusi tersebut susulan kematian penyandang kerusi DUN Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu.

Ketua Wanita UMNO Kluang yang juga bekas Ketua Wanita UMNO Johor sebelum itu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di HEBHK akibat pendarahan dalaman.

Sehubungan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK DUN Mahkota pada 28 September.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!