PRK Mahkota: Calon PN mahu fokus kebajikan rakyat, pembangunan sukan

Mohd Haizan (kanan) bersalaman dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Tunku Ibrahim Ismail pada Sabtu.
Mohd Haizan (kanan) bersalaman dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Tunku Ibrahim Ismail pada Sabtu.
A
A
A

KLUANG – Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN), Mohd Haizan Jaafar, 61, mahu memberi fokus kepada kebajikan rakyat dan pembangunan sukan.

“Insya-ALLAH, kalau saya dipilih saya akan membawa suara rakyat di kawasan Mahkota. Seterusnya, saya akan membuat satu perubahan.

"Semua hal kebajikan secara am akan saya bantu di daerah Kluang di samping majukan sukan di daerah Kluang sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas diumumkan sebagai calon menentang calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah, 40, di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini, pada Sabtu.

Mohamad Haizan mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana memilih beliau sebagai calon.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu semasa menerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom di sini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan seramai 66,318 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab pada PRK itu, terdiri daripada 61,397 pengundi biasa, 4,510 tentera serta pasangan, 401 polis dan 10 orang pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.

Pada pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!