GISBH akan lawan di mahkamah, cabar kemuka bukti

Tangkap layar Nasiruddin dalam video di Facebook pada Sabtu.
Tangkap layar Nasiruddin dalam video di Facebook pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Syarikat GISB Holdings (GISBH) sedang mendapatkan khidmat peguam berhubung isu eksploitasi kanak-kanak yang dikaitkan dengan mereka baru-baru ini.

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Nasiruddin Mohd Ali berkata, langkah itu bertujuan membuktikan kebenaran dan mencabar supaya bukti kukuh dikemukakan atas dakwaan yang dilemparkan terhadap syarikat tersebut.

"30 tahun (kita beroperasi) takkan tidak boleh tunjukkan bukti? Tunjukkanlah bukti. Macam mana pun, kami sedang dapatkan peguam dan saya harap tuan puan tolong bantu kami untuk bayar duit peguam.

"Kalau betul (dakwaan itu), kita lawan (di mahkamah)," katanya dalam satu video di Facebook pada Sabtu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pada Rabu memaklumkan seramai 402 kanak-kanak berjaya diselamatkan hasil serbuan ke atas 20 rumah amal dikaitkan GISB di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.

Dalam perkembangan terkini beliau memaklumkan, 13 daripada kanak-kanak terbabit disyaki telah diliwat berdasarkan saringan perubatan yang dilakukan.

Menerusi sidang media sama, Razarudin berkata, Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman akan menjalankan siasatan berkaitan dana yang disumbangkan kepada rumah amal itu.

Menurut Nasiruddin, dakwaan berhubung isu tersebut disifatkan sebagai tidak berasas kerana tidak mempunyai bukti.

Artikel Berkaitan:

Ulasnya, beliau turut kesal berikutan serbuan polis terhadap 20 rumah amal itu dilakukan tanpa sebarang rundingan dengan mana-mana pihak.

"Saya bukan hendak salahkan undang-undang, memang kami ada salah tetapi untuk isu seperti ini, cuba bincangkan dulu. Ini terus tangkap lebih 400 kanak- kanak dan mereka tidak tahu cerita.

"Memang liwat itu ada satu atau dua, tetapi kenapa dirangkumkan semua? Hasil daripada itu juga kata memperdagangkan manusia, eksploitasi kanak-kanak, ini berlaku terlalu pantas langsung tidak ada perundingan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!