Pegawai tolak opsyen SSPA tidak layak terima pelarasan gaji

Pegawai yang menolak opsyen Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) tidak layak untuk menerima pelarasan gaji, yang akan dilaksanakan secara berfasa iaitu pada 1 Disember tahun ini bagi Fasa 1 dan 1 Januari 2026 bagi Fasa 2. Gambar hiasan
Pegawai yang menolak opsyen Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) tidak layak untuk menerima pelarasan gaji, yang akan dilaksanakan secara berfasa iaitu pada 1 Disember tahun ini bagi Fasa 1 dan 1 Januari 2026 bagi Fasa 2. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pegawai yang menolak opsyen Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) tidak layak untuk menerima pelarasan gaji, yang akan dilaksanakan secara berfasa iaitu pada 1 Disember tahun ini bagi Fasa 1 dan 1 Januari 2026 bagi Fasa 2.

Berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2024 Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), mereka yang turut tidak layak menerima pelarasan gaji ialah pegawai yang tidak lagi berkhidmat pada 1 Disember 2024 atau 1 Januari 2026.

Menurut pekeliling itu, pegawai yang layak untuk menerima pelarasan gaji bagi Fasa 1 ialah pegawai yang dilantik sebelum 1 Disember tahun ini dan sedang berkhidmat pada tarikh yang sama atau pegawai yang meninggal dunia dalam perkhidmatan pada 1 Disember 2024.

"Bagi Fasa 2 pula, pegawai yang dilantik sebelum 1 Januari 2026 dan sedang berkhidmat pada 1 Januari 2026 atau pegawai yang meninggal dunia dalam perkhidmatan pada 1 Januari 2026,” menurut pekeliling yang disiarkan menerusi laman sesawang JPA.

Pelarasan gaji sebanyak 15 peratus diberikan secara berfasa kepada kumpulan perkhidmatan iaitu pengurusan dan profesional serta pelaksana dengan lapan peratus atau minimum RM240 bagi Fasa 1 manakala tujuh peratus bagi Fasa 2.

Mengenai kaedah dan prinsip pelarasan gaji bagi Fasa 1, pekeliling itu memaklumkan pegawai dengan gaji RM3,000 ke atas diberi pelarasan gaji sebanyak lapan peratus atau pegawai dengan gaji RM3,000 dan ke bawah diberi pelarasan gaji sebanyak RM240.

"Sekiranya gaji pegawai setelah diberi pelarasan gaji adalah di bawah daripada Gaji Permulaan Terendah (GPT) atau gaji permulaan skim perkhidmatan di bawah SSPA, gaji pegawai akan dipindahkan ke amaun GPT atau gaji permulaan skim perkhidmatan tersebut.

Bagi pegawai yang menerima opsyen SSPA tetapi belum memenuhi syarat pertukaran pelantikan di bawah SSPA, gaji pegawai adalah tertakluk kepada struktur gaji yang berkuat kuasa di bawah Skim Saraan Malaysia (SSM).

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, gaji pegawai akan dipindahkan berdasarkan skim perkhidmatan dan struktur gaji di bawah SSPA, sehari selepas pegawai memenuhi syarat pertukaran pelantikan di bawah SSPA,” menurut pekeliling itu.

Pemberian pelarasan gaji bagi Fasa 2 SSPA adalah berdasarkan gaji hakiki pegawai pada 31 Disember 2025 ditambah dengan kadar tujuh peratus pada 1 Januari 2026.

"Pegawai yang tarikh pergerakan gajinya adalah pada 1 Jan 2026, pelarasan gaji hendaklah diberi terlebih dahulu dan seterusnya diberi Pergerakan Gaji Tahunan (PGT), tertakluk kepada keputusan Panel Pembangunan Sumber Manusia.

Sementara itu, pekeliling berkenaan menggariskan dua pemberian kemudahan baharu di bawah SSPA bagi memelihara kesejahteraan pegawai dengan mengimbangi kehidupan dan keperluan tugas.

Ia melibatkan pemberian kemudahan vaksin kepada pegawai yang diarahkan oleh ketua jabatan untuk mengambil vaksin atas sebab keperluan perkhidmatan atau keperluan melaksanakan tugas dengan jenis vaksin dan kadar pemberian adalah berdasarkan sokongan Kementerian Kesihatan.

Selain itu, pewujudan Cuti Tanpa Rekod (CTR) Kelompok yang lebih fleksibel, dengan bilangan hari maksimum 20 hari setahun kalendar merupakan gabungan 13 CTR sedia ada dengan tujuh CTR baharu.

"Pegawai boleh mengambil mana-mana jenis CTR Kelompok mengikut syarat yang ditetapkan dan mengatur bilangan hari CTR yang diambil mengikut keperluan pegawai tertakluk kepada kelulusan Ketua Jabatan,” menurut pekeliling tersebut.

Untuk makluman lanjut, boleh layari https://sspa.jpa.gov.my/index.php/pekeliling. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!