Tuan Ibrahim jawab tuduhan ‘buruk sangka’ Lip Eng

Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man
Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan dakwaan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng bahawa beliau telah mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman ketika merasmikan Muktamar Pemuda Pas di Temerloh, Pahang pada Rabu lepas sebagai tidak berasas.

Tuan Ibrahim sebaliknya menegaskan, kenyataannya itu merujuk kepada isu perpaduan disebabkan oleh banyak faktor.

“Saya sebut sikit apa yang DAP buat laporan polis. Ahli Parlimen Kepong (Lip Eng) kata saya menghasut, dia tak faham cakap Melayu rasa dia ni.

“Isu perpaduan kaum ini banyak faktor. Salah satu faktor besar ialah masalah bahasa bila kita bercakap bahasa yang tidak difahami oleh kawan, ia akan timbulkan syak wasangka. Contoh, bila duduk dengar rakan-rakan yang bukan Melayu.

“Katalah India, dia sama-sama cakap India, kita tak faham. Ia akan memungkinkan timbul buruk sangka atau syak wasangka sebab tak faham. Orang Cina sesama Cina bercakap sama sendiri, kita tak faham maka timbul prasangka,” katanya dalam satu perkongsian video di Facebooknya pada Sabtu.

Tambah Tuan Ibrahim, dalam Islam sendiri, Nabi Muhammad SAW telah memberi amaran bahawa jangan berbisik antara dua orang jika ketika itu sedang duduk bertiga.

Beliau berkata, ia akan menyebabkan orang ketiga akan berasa syak.

Justeru, beliau merasakan jalan keluarnya ialah memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Artikel Berkaitan:

“Kita ni duduk Malaysia, bahasa pun tak reti. Bertahun-tahun dah merdeka, hampir 67 tahun.

"Ada yang tak boleh berbahasa Melayu pun. Kita perlu perkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Malu apa kita?

“Saya hadir seminar persidangan antarabangsa. Orang lain bangkit atas pentas antarabangsa bercakap bahasa masing-masing, mereka bangga. Orang Jepun, Korea, Thailand, Arab, China cakap bahasa mereka. Mereka bangga.

“Tiba-tiba orang Malaysia, rasa malu nak bercakap bahasa kita. Ini jiwa belum merdeka, kita perlu jiwa merdeka bukan hanya negara merdeka. Kita kena perkasa agenda ini supaya tidak timbul prasangka,” jelasnya.

Lip Eng pada Jumaat telah membuat laporan polis terhadap Tuan Ibrahim Tuan Man kerana didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman, selepas Timbalan Presiden Pas itu berkata apabila orang Cina atau India bercakap dalam bahasa ibunda mereka, orang Melayu akan bersangka buruk.

Beliau turut menggesa pihak polis untuk menyiasat kenyataan berkenaan, terutamanya di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan berkaitan perbuatan ‘dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan’.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!