PM yakin landskap pertanian negara berubah dalam tempoh satu atau dua tahun
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin landskap pertanian negara akan berubah dalam tempoh satu atau dua tahun lagi.
Beliau berkata, keyakinan itu berdasarkan kepada perubahan dan kemajuan yang ditunjukkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di bawah kepimpinan Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu.
"Kalau pace (rentak) perubahan dan kemajuan berlaku di KPKM seperti yang ada sekarang dengan fokus termasuk durian dan pelbagai hal lain, saya yakin beri satu, dua tahun lagi kita lihat landskap pertanian negara akan berubah.
"Jadi saya harap semua agensi, MARDI (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia) dan lain-lain termasuk jabatan pertanian dan perikanan ambil ini sebagai satu cabaran,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di MAEPS, Serdang dekat sini pada Sabtu.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Mohamad dan timbalannya Datuk Arthur Joseph Kurup.
Bagi mengelakkan negara ketinggalan dalam aspek kemajuan teknologi pertanian serta meningkatkan prestasi produktiviti, Perdana Menteri mahu pemain sektor itu menerapkan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam setiap amalan pertanian.
Untuk tujuan itu, Anwar menggesa KPKM untuk menjayakan sektor pertanian dengan berasaskan teknologi baharu kerana industri makanan adalah satu daripada tonggak utama yang harus diberikan tumpuan sepenuhnya.
"Kita tidak boleh harap hasil (pertanian) bertambah tanpa penggunaan teknologi termasuk AI seperti saya lihat di beberapa tempat (negara) yang guna AI dalam meningkatkan produktiviti sektor pertanian. Tetapi ia memerlukan satu sikap dan budaya baharu. Kita tidak mahu negara ini kalah dalam apa jua bidang.
"Kejayaan pengurusan ekonomi alhamdulillah, walaupun harus diperbaiki lagi tetapi kita tidak pernah mengurangkan fokus kepada keperluan meningkatkan pengeluaran makanan negara," katanya.
Anwar turut menyeru seluruh jentera kerajaan supaya bangkit dengan kekuatan baharu dalam semua bidang untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat di mata dunia.
Mengenai penganjuran MAHA 2024 yang memasuki edisi ke-100, Anwar memuji gerak kerja dilakukan KPKM bagi memastikan penganjurannya menjadi platform unggul dalam mendedahkan masyarakat mengenai sektor pertanian serta kejayaan telah dikecapi.
"Sekali lagi saya mahu nyatakan penghargaan kerana saya tahu cara sahabat saya (Mohamad) bekerja. Semalam beliau bermalam di sini, saya harap ini jadi contoh, inspirasi, semangat dan dorongan kepada yang lain," katanya.
MAHA 2024 bertemakan 'Menuai Harapan Membina Masa Hadapan' berlangsung selama 12 hari bermula 11 Sept lepas, dengan sasaran kehadiran tiga juta pengunjung dan kira-kira RM6 bilion nilai perjanjian persefahaman serta RM40 juta nilai jualan langsung. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!