Sepanduk 'dijamin halal' tidak sentuh 3R - Muhyiddin

Sepanduk 'dijamin halal' dibawa penyokong PN di luar pusat penamaan calon di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Kluang pada Sabtu.
Sepanduk 'dijamin halal' dibawa penyokong PN di luar pusat penamaan calon di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Kluang pada Sabtu.
A
A
A

KLUANG - Sepanduk 'dijamin halal' yang dibawa penyokong Perikatan Nasional (PN) di luar pusat penamaan calon mempunyai maksud tersendiri namun tidak menyentuh isu bangsa, raja, dan agama (3R).

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia terserah kepada pemahaman masing-masing mengenai sepanduk 'dijamin halal' itu.

"Itu sengaja kita bawa. Terserah kepada mereka untuk faham apa maksud di sebalik sepanduk itu.

"Tiada apa- apa ia cuma sepanduk biasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan mengenai sepanduk berkenaan selepas penamaan calon di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Kluang pada Sabtu.

Sebelum itu, penyokong PN yang mengiringi calon, Mohamad Haizan Jaafar atau 'Coach Haizan' berkumpul di luar pusat penamaan calon dengan membawa papan tanda yang tertera perkataan ‘dijamin’ bersama logo halal.

Isu pensijilan halal menjadi polemik selepas media sebelum ini melaporkan, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata, pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela untuk membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan dilaksanakan secara paksa.

Kenyataan itu mendapat kecaman daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin UMNO, pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk Dewan Perniagaan Melayu Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Pada Rabu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar melakukan kajian dan menyediakan laporan lengkap berhubung isu pensijilan halal.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata Perdana Menteri mahu hasil kajian dan laporan lengkap berhubung cadangan mewajibkan pensijilan halal untuk setiap premis makanan itu dibentangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!