Nenek enam cucu 'bergaya sakan' meriahkan Keretapi Sarong
IPOH - Status sebagai nenek kepada enam cucu tidak menghalang seorang wanita untuk turut sama memeriahkan program Keretapi Sarong 2024 (KS24) di Stesen Keretapi Ipoh di sini pada Sabtu.
Fatimahtul Zuhrara Saad, 58, dari Meru Raya hadir dengan berkebaya labuh berwarna hitam dan berkain batik bersama hiasan bunga di kepala dan payung kertas bagi memenuhi tema 'Bangga Malaysia'.
Ketika ditemui pemberita, Fatimahtul Zuhrara memaklumkan telah lama menyimpan hasrat untuk menyertai program tersebut sejak pertama kali diperkenalkan pada 2022 lalu.
"Alhamdulillah, tahun ini baru saya berkesempatan dapat ikut serta, baju yang saya pakai ini koleksi saya sendiri.
"Bagi saya program ini sangat unik kerana dapat mengumpulkan peserta daripada pelbagai bangsa dan peringkat umur dengan semuanya berpakaian tradisional," katanya.
Beliau berkata, acara tahunan itu wajar diteruskan sebagai satu inisiatif memupuk perpaduan rakyat Malaysia.
Sementara itu, Penganjur program, Irfan Azhim Zulkifli berkata, sambutan kali ini lebih meriah dengan penyertaan hampir 1,000 orang yang berkumpul sejak jam 7 pagi.
Katanya, kebanyakan peserta datang dari luar Ipoh antaranya Manjung, Taiping dan Kuala Kangsar untuk sama-sama memeriahkan pelbagai aktiviti disediakan termasuklah kuiz, perkongsian maklumat sejarah dan joget lambak.
"Pengisian program sama seperti tahun sebelum ini cuma kali ini kita tampilkan hentian pilihan yang berbeza iaitu di Arlene House dan Hourglass Coffee.
"Matlamat melalui program ini, selain untuk memberi pengalaman berbeza dalam menyambut Hari Malaysia, kami dapat membantu mempromosikan produk tempatan yang ada di bandar raya ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!