'Pas tiada kaitan dengan GISBH' - Abdul Hadi

Abdul Hadi pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Pas ke-70 di Kompleks Al-Makmur pada Sabtu.
Abdul Hadi pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Pas ke-70 di Kompleks Al-Makmur pada Sabtu.
A
A
A

TEMERLOH - Pas menafikan dakwaan mempunyai kaitan dengan kumpulan perniagaan, GISB Holdings (GISBH) seperti mana didakwa media antarabangsa.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, dakwaan tersebut tidak benar sama sekali, selain menegaskan tiada penglibatan ahli parti dalam kumpulan itu.

"GISB tidak ada hubungan (secara) langsung dengan kita, walaupun pihak media antarabangsa mengaitkannya, itu satu berita yang tidak betul... yang salah.

"Tiada dan bukan ahli kita, tidak ada kaitan dengan kita. Itu perlu (kepada) siasatan polis," katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Muktamar Pas ke-70 di Kompleks Al-Makmur, di sini pada Sabtu.

Pada 11 September lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mendakwa berdasarkan risikan dan keterangan yang diperoleh, mangsa di beberapa rumah amal kelolaan GISB diajar meliwat, seterusnya diliwat oleh penjaga.

Mereka juga dilaporkan dipaksa meliwat penghuni kanak-kanak yang lain.

Abdul Hadi menjelaskan, pihaknya menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.

“Biar polis siasat. Kita tunggu siasatan polis,” ujarnya ringkas.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Marang memberitahu, Pas akan sentiasa mengawal institusi mereka agar kejadian serupa tidak berlaku.

Beliau bagaimanapun berkata, kesemua institusi di bawah parti terbabit dalam keadaan terkawal.

"Kita ada lajnah dan jawatankuasa yang mengawal, pentadbiran kita sendiri dan tidak ada hubungan dengan pihak lain,” ujarnya.

Terdahulu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataannya berharap agar hasil siasatan berhubung dakwaan kanak-kanak di rumah amal kumpulan perniagaan GISB diliwat dan diajar meliwat didedahkan kepada rakyat.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut, namun menyerahkan pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!