PRK Mahkota: PN hantar pemerhati pantau salah laku calon, parti

Tuan Ibrahim
Tuan Ibrahim
A
A
A

TEMERLOH - Perikatan Nasional (PN) akan menghantar pemerhati Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota bagi memantau perjalanan pilihan raya serta kesalahan yang mungkin berlaku melibatkan calon dan parti politik terlibat.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan itu dilakukan susulan mengambil iktibar daripada perjalanan pilihan raya terdahulu seperti di DUN Nenggiri dan Pelangai.

"Kita ada pemantau di peringkat PN dan Pas untuk memantau semua elemen supaya tidak berlaku sebarang pelanggaran peraturan semasa kempen pilihan raya.

"Mungkin untuk cari orang mengaku sebagai saksi bukan mudah, sepatutnya perkara itu disiasat supaya elemen penyalahgunaan jentera kerajaan, pelanggaran peraturan tidak berlaku ketika PRK Mahkota," katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian Muktamar Pas Tahunan ke-70 di sini pada Sabtu.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, PRK Mahkota yang bakal berlangsung pada 28 September depan menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) dan PN.

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, pada 2 Ogos lalu semasa menerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom di Johor.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menjelaskan, PN telah merangka pembaharuan strategi bagi memastikan gabungan itu mampu merampas DUN tersebut.

"Ahli Pas ada turun dari Rompin, Muazam Shah dan lokasi berhampiran untuk bantu jentera PN.

Artikel Berkaitan:

"Kita ada banyak pendekatan untuk menambat hati pengundi di samping ceramah dan program turun rumah," ujarnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka itu turut memaklumkan, jentera parti komponen seperti Parti Progresif Rakyat Malaysia (MyPPP), ahli bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) serta Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) telah diarahkan turun membantu calon sepanjang tempoh berkempen.

Justeru melihat kepada perkembangan itu, beliau yakin PN mampu menang sekali gus menyemarakkan perubahan di kawasan berkenaan.

"Kita lihat potensi PN untuk menang ada (kerana) situasi dahulu tidak sama dengan sekarang, gelombang kebangkitan tidak berlaku ketika PRN (Pilihan Raya Negeri) Melaka dan Johor.

"Pengundi 18 tahun, walaupun dah didaftarkan masuk dalam sistem, namun jumlah keluar mengundi sangat rendah. Jadi kita lihat beberapa isu dan gelombang yang berlaku selepas (PRK) itu," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!