PH jamin bantu BN kekalkan kemenangan PRK Mahkota - Saifuddin Nasution

Saifuddin Nasution hadir memberi sokongan kepada calon BN di Pusat Penamaan Calon PRK Mahkota, Dewan Tunku Ibrahim Ismail, di sini pada Sabtu.
Saifuddin Nasution hadir memberi sokongan kepada calon BN di Pusat Penamaan Calon PRK Mahkota, Dewan Tunku Ibrahim Ismail, di sini pada Sabtu.
A
A
A

KLUANG - Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota perlu kekal di bawah Kerajaan Perpaduan dalam mengekalkan momentum sokongan rakyat selepas PRK DUN Nenggiri, kata Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menurutnya, ia juga memandangkan Johor menjadi antara negeri yang mendapat banyak limpahan pembangunan sejak Kerajaan Perpaduan dibentuk.

Manfaat pembangunan itu termasuk Perjanjian Bersama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Projek Rapid Transit System Link (RTS Link) Johor Bahru-Singapura dan inisiatif naik taraf pintu sempadan Johor-Singapura bagi mengurangkan kesesakan laluan darat.

"Kami (PH) akan turun seolah-olah calon BN ini adalah calon PH. Kami masuk PRK Mahkota ini dengan misi membantu kemenangan calon BN.

"Kemenangan DUN Mahkota ini penting kerana akan mengekalkan momentum kemenangan Nenggiri yang diperoleh beberapa minggu lepas.

"Jadi, dengan kemenangan DUN Nenggiri dan DUN Mahkota ia akan memberi memberi momentum yang sangat baik dengan Johor antara negeri paling banyak menerima limpahan manfaat sejak Kerajaan Perpaduan dibentuk selepas pilihanraya (PRU15) yang lepas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Pusat Penamaan Calon PRK Mahkota, Dewan Tunku Ibrahim Ismail, di sini pada Sabtu.

Menjawab mengenai cabaran berdepan sentimen agama, bangsa dan raja-raja (3R) sepanjang kempen, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri yakin isu berkenaan tidak mampu mempengaruhi pengundi sepenuhnya seperti yang berlaku di PRK DUN Nenggiri.

Artikel Berkaitan:

"Saya tengok, semakin lama, rakyat menilai bahawa isu itu tidak selamanya boleh dimainkan walaupun PN masih mengekalkan (kempen tersebut). Tapi ia terhenti di (PRK) Nenggiri walaupun kawasan itu 98 peratus adalah pengundi Melayu dan Islam.

"Jadi jika pendekatan itu telah ditolak, saya yakin rakyat Johor akan mengambil pendirian sama.

"Sekiranya masih berlaku, saya merayu kepada pengundi untuk membuat penilaian sejernih-jernihnya kerana pendekatan itu tidak membawa kebaikan pun kepada masyarakat kita yang pelbagai kaum dan agama," ujarnya.

PRK kerusi DUN Mahkota menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Kerajaan Perpaduan daripada BN dan PN.

BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah, manakala PN diwakili Mohamad Haizan Jaafar, 61.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!