Dapatan kajian akidah GISBH dibentang dalam MKI, MJIM - Jakim

Datuk Hakimah Mohd Yusoff
Datuk Hakimah Mohd Yusoff
A
A
A

SHAH ALAM - Hasil dapatan kajian berhubung isu akidah, syariah dan tasawuf dalam syarikat GISB Holdings (GISBH) akan dibentangkan dalam Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) serta Mesyuarat Jemaah Menteri (MJM).

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, ia kemudian diikuti dengan permohonan perkenan Majlis Raja Raja sebelum difatwakan di bawah bidang kuasa negeri-negeri bagi tujuan penguatkuasaan.

“Jakim konsisten mengadakan dialog, program dan kajian mendalam mengenai perkara itu dan tidak berkompromi dengan isu-isu yang melibatkan akidah umat Islam.

“Merujuk kepada isu tersebut, Jakim sebagai sekretariat melaksanakan fungsi MKI bagi menyembah nasihat kepada Majlis Raja-Raja berhubung sebarang perkara berkenaan perundangan, pendidikan dan pengurusan hal ehwal Islam bagi maksud menambah baik, menyelaras serta menggalakkan keseragaman undang-undang atas kepentingan negara,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Sabtu.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam kuliah mingguan pada Khamis berkata, isu membabitkan GISBH sudah dibentangkan kepada pelbagai pihak termasuk Jakim dan pihak penguat kuasa, namun tiada tindakan diambil.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Abu Hafiz Salleh Hudin dalam kenyataan pada Jumaat mencadangkan supaya Jakim dirombak susulan kelewatan mengambil tindakan ke atas entiti terkait dengan syarikat tersebut.

Susulan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat, mengarahkan pihak berkuasa termasuk majlis agama Islam untuk segera melakukan siasatan dan mengambil tindakan berhubung dakwaan salah laku syarikat tersebut.

Ujar Anwar, langkah berkenaan penting dan tidak boleh dilengahkan kerana melibatkan soal penyalahgunaan kuasa, agama serta penderaan kanak-kanak.

Artikel Berkaitan:

Menurut Hakimah, beberapa siri pertemuan bersama GISBH telah dilaksanakan bagi membincangkan isu berkaitan syarikat tersebut sejak Februari 2019.

Ulasnya, satu perjumpaan tertutup juga diadakan pada September 2019 melibatkan

Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI, Jabatan Peguam Negara, Panel Pakar Akidah Jakim dan Panel Pakar Tasawuf jabatan tersebut untuk membincangkan cadangan penyelesaian yang bersesuaian.

“Pada Julai 2022, Mesyuarat Khas bersama agensi keselamatan negara termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah diadakan bagi tujuan penyelarasan dan disusuli dengan beberapa perbincangan pada Ogos 2024.

“Pada Februari 2023, Mesyuarat Khas Panel Pakar Akidah mengenai isu GISBH diadakan melibatkan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi), Bahagian Ancaman Ekstrimis Sosial E2, cawangan khas PDRM dan pertemuan dengan bekas pengikut GISBH.

“Seterusnya pada Februari 2024, satu pertemuan bersama Ketua Pegawai Eksekutif GISBH diadakan bagi mengkaji lebih mendalam isu isu akidah, syariah dan tasawuf dalam syarikat tersebut,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!