Raja Muda Selangor berkenan sertai program bersih Sungai Klang
KLANG - [DIKEMAS KINI] Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan turut serta dalam program pembersihan Sungai Klang pada Sabtu.
Program tersebut merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Putra Business School (PBS) bersama Royal Selangor Yacht Club, Raja Muda Selangor International Regatta dan Putra Student Association dan Cuci Malaysia.
Baginda tiba di RSYC jam 10.30 pagi sebelum menyertai aktiviti pembersihan sungai diiringi Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Najwan Halimi serta Presiden PBS, Profesor Dr Azmawani Abd Rahman.
Azmawani berkata, sejumlah 700 kilogram (kg) sampah berjaya dikutip menerusi program berlangsung lebih tiga jam disertai 150 orang terdiri sukarelawan, pelajar, alumni serta kakitangan PBS.
Menurutnya, peserta dipecahkan kepada dua kumpulan menumpukan kerja pembersihan di tebing sungai dan kawasan perairan.
"Kumpulan pembersihan di kawasan tebing berjaya mengumpul 200kg sampah dalam masa 45 minit.
"Bagi kumpulan kedua yang menaiki bot melakukan pembersihan di Sungai Klang mengutip kira-kira 500kg sampah," katanya ditemui pada program berkenaan.
Beliau berkata, baginda selaku Canselor PBS menyokong usaha pembersihan Sungai Klang dan berharap usaha itu mendorong kepada orang ramai untuk bersama-sama menjaga alam sekitar.
Tambahnya, program tersebut merupakan permulaan kepada PBS untuk memberi kesedaran kepentingan penjagaan sungai dan penjagaan alam.
"Usaha ini mendapat kerjasama baik oleh banyak pihak termasuk rakan penaja dan kami bercadang untuk mengadakan program ini secara kerap dengan melibatkan lebih banyak institusi bagi menjamin keberkesanan.
"Kami bercadang menjadikan Sungai Klang sebagai projek angkat dan jika inisiatif ini berjaya, ia boleh dijadikan model untuk diperluas ke kawasan lain," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!