PRK Mahkota sekali lagi perlihat kerjasama erat Kerajaan Perpaduan - Zahid

Ahmad Zahid bersama calon BN, Syed Hussien ketika merasmikan Pusat Operasi Perpaduan PRK DUN Mahkota di Jalan Mersing pada Sabtu. Foto Bernama
Ahmad Zahid bersama calon BN, Syed Hussien ketika merasmikan Pusat Operasi Perpaduan PRK DUN Mahkota di Jalan Mersing pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

KLUANG - Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota sekali lagi memperlihatkan kerjasama erat antara parti politik dalam Kerajaan Perpaduan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, kerjasama antara parti itu terserlah di siri PRK sebelum ini apabila jentera parti saling membantu parti yang bertanding.

"Kita (BN) tolong DAP di (PRK) Kuala Kubu Bharu (Selangor) kemudian kita tolong PKR pada PRK Sungai Bakap (Pulau Pinang) dan semua orang juga membantu kita (BN) baru-baru ini semasa PRK Nenggiri (Kelantan).

"Kali ini yang bertanding ialah BN tetapi jentera semua parti dalam Kerajaan Perpaduan turut bersama-sama kita bagi memastikan kemenangan kerusi DUN Mahkota kepada calon kita," katanya pada pelancaran Pusat Operasi Perpaduan PRK DUN Mahkota di sini pada Sabtu.

Turut hadir ialah Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook; Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan calon BN pada PRK itu, Syed Hussien Syed Abdullah.

PRK DUN Mahkota menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Syed Hussien dan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 28 September sebagai hari pengundian manakala hari undi awal ialah pada 24 September.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas semasa menerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom di sini. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!