'Saya masih menyayangi Fazura' - Fattah Amin nafi dakwaan curang
PELAKON Fattah Amin menegaskan tiada wanita lain dalam hidupnya selain Fazura, sekali gus menafikan dakwaan 'curang' yang heboh di media sosial sejak kebelakangan ini.
Menurut pelakon berusia 34 tahun itu, dia terkejut apabila hanya mengetahui berita isterinya memfailkan perceraian melalui media sosial.
"Sejujurnya, saya hanya mengetahui mengenai permohonan perceraian yang difailkan terhadap saya melalui media sosial, terutamanya selepas ia ditularkan.
"Saya amat terkejut dan sedih dengan perkhabaran berita ini. Malah, tanpa sebarang rasa ragu-ragu, saya masih menyayangi Faz," katanya kepada sebuah portal berita pada Sabtu.
Menurut Fattah, dia berharap orang luar dapat mendoakan yang terbaik buat dirinya dan isu keretakan rumah tangganya dapat diselesaikan secara tenang.
Dalam pada itu, Fattah dengan rendah diri memohon doa yang baik-baik dan sokongan daripada orang sekeliling.
"Moga segala urusan kami berdua dipermudahkan dan diselesaikan dengan baik serta penuh ketenangan.
"Saya juga berharap agar tiada campur tangan daripada pihak lain yang boleh mengeruhkan lagi situasi ini. Terima kasih atas segala perhatian dan doa kalian," katanya.
Semalam, aktres terkenal Fazura atau nama sebenar Nur Fazura Sharifuddin memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya Fattah Amin di Mahkamah Rendah Syariah Petaling.
Fattah dan Fazura mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya yang kini berusia empat tahun. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!