Sepang antara tiga daerah menua di Selangor

Sepang antara tersenarai 11 daerah sebagai daerah menua. Gambar kecil: Aiman Athirah
Sepang antara tersenarai 11 daerah sebagai daerah menua. Gambar kecil: Aiman Athirah
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) mengambil langkah proaktif memastikan kebajikan warga emas di Sepang sentiasa terjaga.

Timbalannya, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, statistik Anggaran Penduduk Semasa Daerah Pentadbiran 2024 menunjukkan Sepang dikenal pasti sebagai satu daripada tiga daerah di Selangor yang tergolong sebagai daerah menua iaitu tujuh peratus penduduknya berusia 65 tahun ke atas.

Menurutnya, KPKT telah menerbitkan Garis Panduan Perancangan Reka Bentuk Sejagat untuk membantu kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi pelaksana merancang bandar mesra aksesibiliti bagi kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Selain itu katanya, Seksyen 34A, Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (UKBS 1984) mewajibkan bangunan dan tempat awam dilengkapi infrastruktur mesra OKU dan warga emas.

"Di peringkat Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), PBT berkenaan telah mengambil pelbagai langkah proaktif bagi memastikan warga emas dapat menjalani kehidupan yang aktif dan berkualiti termasuk Taman Warga Emas di Pekan Sungai Pelek.

"Turut disediakan kemudahan outdoor gym dengan peralatan refleksologi khusus untuk warga emas seperti yang terdapat di Taman Sri Bayu," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sepang berkata, MPSepang turut meletakkan syarat kelulusan Pelan Induk Landskap mewajibkan penyediaan kemudahan senaman bagi warga emas di perumahan melebihi 100 unit.

Ujarnya, projek tersebut telah dilaksanakan di Bandar Serenia, Bandar Sunsuria dan Taman Semarak Warisan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu katanya, Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) turut memainkan peranan utama dalam menyediakan kemudahan mesra warga emas di Sepang.

"Inisiatif dilaksanakan termasuk penyediaan handrail, ramp, kaunter mesra warga emas, dan laluan pejalan kaki mesra kerusi roda di tempat awam seperti pejabat kerajaan, bank dan taman-taman.

"Audit aksesibiliti dilakukan tiga kali setahun bagi memastikan semua kemudahan sentiasa dalam keadaan baik," katanya.

Katanya, pelaksanaan Garis Panduan Perancangan Fizikal Warga Emas (GPPFWE) serta pematuhan kepada Undang-undang Kecil Bangunan Seragam membuktikan komitmen KPKT, MPSepang dan MPKL dalam mewujudkan persekitaran inklusif dan mesra warga emas.

"Inisiatif ini turut memperkukuh matlamat kerajaan untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat terutamanya warga emas.

"Melalui langkah berterusan ini, warga emas di Sepang dapat menikmati kehidupan yang lebih aktif, selesa dan bermakna - selaras dengan visi Malaysia yang progresif dan inklusif," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!