Lelaki terselamat MPV terbabas, terbakar

Kenderaan yang terbakar di Jalan Kota Tinggi-Johor Bahru berhampiran Taman Seri Saujana, Kota Tinggi pada pagi Sabtu. Foto Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi
Kenderaan yang terbakar di Jalan Kota Tinggi-Johor Bahru berhampiran Taman Seri Saujana, Kota Tinggi pada pagi Sabtu. Foto Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki terselamat selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dipandunya terbabas dan terbakar di Jalan Kota Tinggi-Johor Bahru berhampiran Taman Seri Saujana, Kota Tinggi pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, kemalangan dipercayai berlaku selepas kereta dipandu lelaki tempatan berusia 26 tahun dari arah Kota Besar menghala ke arah Taman Johor Jaya melanggar lopak air.

"Kenderaan terbabit telah hilang kawalan lalu berpusing dan terbabas ke bahu jalan sebelah kiri. Mangsa yang melihat kenderaannya berasap bertindak keluar dari kenderaan sebelum kenderaan itu mula terbakar,” katanya.

Kenderaan terbabit musnah 95 peratus. Foto Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi
Kenderaan terbabit musnah 95 peratus. Foto Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi

Beliau berkata, tiada sebarang penumpang di dalam kereta itu dan kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) serta satu saman (POL 257) dikeluarkan di bawah kaedah 10 LN 166/59.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, Pegawai Bomba Kanan II Ibrahim Wahid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.59 pagi.

Beliau berkata, tujuh anggota berserta sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digegaskan ke tempat kejadian.

"Kereta terbabit musnah 95 peratus. Mangsa tidak tersepit namun cedera ringan. Operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada 9.37 pagi," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!