Berpegang prinsip Maqasid Syariah tangani isu GISBH - Yadim

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia
Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia
A
A
A

SHAH ALAM - Eksploitasi manusia atas nama agama adalah amat buruk dan perlu ditentang serta dibenteras, terutamanya apabila membabitkan kanak-kanak.

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya berpegang teguh kepada prinsip Maqasid Syariah yang menekankan penjagaan lima prinsip utama iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta dalam menangani isu ini.

Justeru, badan dakwah itu menyokong penubuhan Jawatankuasa Khas di bawah seliaan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sebagai tindak balas segera membantu pihak berkuasa termasuk menyedia input kepada Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI).

“Syabas kepada pihak PDRM yang berjaya menyelamatkan 402 kanak-kanak berusia antara satu hingga 17 tahun yang dipercayai dieksploitasi di 18 rumah kebajikan di Selangor dan Negeri Sembilan dalam Op Global.

“Kami sedia untuk membantu memberi sokongan terhadap proses pemulihan, penjagaan dan bimbingan kepada kanak-kanak yang terbabit sesuai dengan fungsi dan peranan Yadim.

“Kami juga menyeru seluruh organisasi kemasyarakatan dan pertubuhan atas nama agama agar sentiasa menjaga dan memastikan kemuliaan Islam dalam setiap kegiatan dan tidak menjadi fitnah kepada agama,” menurut kenyataan itu pada Sabtu.

Yadim juga menyeru masyarakat agar berhati-hati dan sentiasa peka serta melaporkan segera kegiatan-kegiatan yang mencurigakan dalam masyarakat walaupun ia dibaluti atas nama agama.

Ujarnya, sikap cakna dan ambil tahu akan menyuburkan dan menjadi dasar budaya ilmu yang segar dalam membina masyarakat bertamadun.

Artikel Berkaitan:

Pada Rabu lalu, 402 kanak-kanak berusia setahun hingga 17 tahun yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan di premis dipercayai milik syarikat GISB Holdings (GISBH) berjaya diselamatkan.

Dalam operasi Op Global yang dijalankan jam 6 hingga 11 pagi itu, polis turut menahan 171 individu terdiri tenaga pengajar, penjaga asrama dan pengerusi pusat pengajian.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!