UiTM juara keseluruhan SUKIPT 2024

UiTM berjaya mengutip 38 emas, 20 perak dan 39 gangsa pada SUKIPT 2024.
UiTM berjaya mengutip 38 emas, 20 perak dan 39 gangsa pada SUKIPT 2024.
A
A
A

KELEBIHAN satu pingat perak menyaksikan juara keseluruhan temasya Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) Universiti Utara (UUM) 2024 menjadi milik Universiti Teknologi Mara (UiTM) selepas berjaya mengutip 38 emas, 20 perak dan 39 gangsa.

UiTM mengenepikan juara bertahan dua tahun lalu, Universiti Putra Malaysia (UPM) yang mengumpul 38 emas, 19 perak dan 21 gangsa.

Tempat ketiga pula menjadi milik Politeknik Malaysia yang meraih 27 emas, 14 perak dan 13 gangsa.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Profesor Dr Mohd Sazili Shahibi menyifatkan saingan temasya pada kali ini begitu sengit terutamanya melibatkan kontinjennya dan UPM yang bersaing sehingga hari terakhir SUKIPT 2024.

Menurutnya, kejayaan muncul juara keseluruhan pada edisi kali ini cukup manis kerana pada waktu yang sama pasukan bola sepak UiTM berjaya mempertahankan ibu pingat emas yang disandang sejak 2018 dan 2022.

"Pada edisi SUKIPT 2022, UPM berjaya muncul juara keseluruhan dan UiTM naib juara namun pada edisi SUKIPT kali ini, kita pula muncul juara keseluruhan dan UPM di tangga kedua.

"Kejayaan ini kita telah tunggu setelah sekian lama kerana UPM adalah juara keseluruhan pada 2018 dan 2022.

"Tahniah kepada atlet dan pegawai telah merealisasikan sasaran kita," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penutup SUKIPT UUM 2024 pada Sabtu.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Dr Zaini Ujang hadir menyempurnakan majlis penutup kejohanan tersebut di Dewan Muadzam Shah, UUM di Sintok.

Artikel Berkaitan:

SUKIPT 2024 turut mencatatkan sejarah membanggakan apabila buat pertama kali penganjurannya sejak 2012, enam rekod kebangsaan telah berjaya dipecahkan melalui sukan kayak melibatkan enam acara dan disertai lapan orang atlet.

Atlet- atlet tersebut iaitu Nik Afiq Nik Mazli dari Kolej Poly-Tech MARA; Siti Nurqasrini Syahzanani, Khairul Naim Zainal, Marina Muzaffa, Aisyah Farhanah Azwan (UiTM); serta Syahida Asyikin Rusli, dan Muhammad Naiem Shahmi (Universiti Pendidikan Sultan Idris) yang berkongsi wang insentif RM20,000 secara bersama.

Dua atlet sukan kayak iaitu Nik Afiq serta Siti Nurqasrini turut dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati SUKIPT 2024 atas pencapaian mereka.

Kejayaan pasukan bola sepak UiTM yang mempertahankan kejuaraan semenjak SUKIPT 2018 serta pencapaian pasukan bola jaring Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) muncul juara sulung dalam kejohanan ini menyaksikan masing-masing diumumkan Pasukan Terbaik Lelaki dan Wanita SUKIPT 2024.

Selain itu, sebanyak 24 rekod kejohanan turut berjaya dipecahkan melibatkan sembilan gelanggang olahraga, manakala 15 rekod lagi di lapangan memanah melibatkan lapan rekod bagi acara Compund dan tujuh rekod bagi Recurve.

Pada edisi ini, SUKIPT turut menarik penglibatan empat orang olimpian kebangsaan yang telah beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 lalu dengan tiga orang dari sukan memanah iaitu Syaqirah Mashayik dari UPM, Ariana Nur Dania Mohd Zairi (German-Malaysia Institute), dan Nurul Azrena Mohammad Fazil (UITM); serta seorang dari sukan renang, Khiew Hoe Yean (UCSI).

Seramai 6,148 orang atlet Institut Pengajian Tinggi awam dan swasta telah memperagakan kehebatan bagi merebut 231 pingat emas melalui 28 acara sukan di kesemua 23 buah gelanggang pertandingan SUKIPT UUM 2024 yang berakhir 14 September.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!