Fitnah seleweng duit kementerian, Rafizi saman Wan Ahmad Fayhsal
SHAH ALAM - Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli bakal memfailkan saman terhadap Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal susulan dakwaan menyeleweng duit kementerian.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, beliau telah memohon pihak peguamnya memulakan proses saman Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana membuat fitnah secara terbuka.
“Saya tidak pernah saman sesiapa tetapi fitnah Yang Berhormat Machang ini adalah kes yang sangat jelas apabila dibawa ke mahkamah,” tulisnya menerusi satu hantaran di laman sosial, X pada Sabtu.
Sebelum ini, Wan Ahmad Fayhsal menerusi X telah mengulang siar satu hantaran dengan kenyataan yang mendakwa Rafizi menyeleweng duit kementerian bagi tujuan membayar ‘cybertrooper’.
Hantaran yang diulang siar itu memaparkan gambar ‘Pelan Kempen Fasa 1’ dengan huraian seorang pempengaruh media sosial ditugaskan untuk menangkis imej negatif menerusi perkongsian pencapaian ekonomi bumiputera melalui Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!