Saya tawakal kepada ALLAH masa 'Pak Belang' muncul - Pemancing
MERSING - Dua lelaki berdepan detik cemas apabila mendakwa terserempak dengan harimau belang ketika sedang memancing berhampiran ladang kelapa sawit Felda Nitar 2 di sini, Rabu lepas.
Nazeri Iskandar, 31, berkata, dalam kejadian pada 5.45 petang itu, dia dan rakannya Azmir Mokeri, 35, baru sahaja memulakan aktiviti tersebut sebelum menyedari kehadiran haiwan liar itu.
"Keadaan ketika itu menjadi cemas dan saya hanya bertawakal kepada ALLAH. Azmir mulanya mengambil tindakan untuk lari tetapi apabila saya lihat harimau itu semakin laju ke arah kami, saya minta dia menghadap harimau tersebut.
"Harimau itu terus berhenti berjalan dan saya sempat membaca surah Al-Fatihah, doa Nabi sulaiman dan surah tiga Qul sebelum harimau itu seolah-olah memberi tunduk hormat lalu menyambar beg sandang milik Azmir yang mengandungi telefon pintar, alatan memancing serta air," katanya ketika dihubungi Bernama pada Sabtu.
Nazeri berkata, harimau itu kemudian berpusing dan berjalan ke hadapan serta meletakkan beg tersebut dan berbaring sambil melihat ke arah mereka, sebelum dia mengarahkan Azmir untuk berundur dan meninggalkan ‘Pak Belang’ itu.
Anak jati Mersing itu berkata, lazimnya dia akan merakam video ketika memancing dan itu merupakan pengalaman pertama mereka terserempak dengan harimau.
"Saya menggigil ketakutan ketika membaca surah Al-Fatihah namun beransur tenang selepas membaca doa Nabi Sulaiman. Setelah itu, kami memanjat pokok dan berjaga-jaga serta hubungi rakan untuk mendapatkan bantuan.
"Keadaan ketika itu diibaratkan seperti 'telur di hujung tanduk' kerana jarak kami dengan harimau tersebut hanya dua langkah sahaja...peristiwa ini tidak akan saya lupakan sampai bila-bila, saya harap ini kali pertama dan terakhir terserempak dengan Pak Belang," katanya yang bekerja sendiri.
Nazeri berkata, sehari selepas kejadian itu mereka cuba mencari semula beg sandang Azmir tetapi hanya menemukan alatan memancing yang tercicir di seberang sungai.
"Kami cuba juga cari beg tersebut tetapi telah dibawa lari oleh harimau berkenaan cuma dapat semula barang-barang pancing yang tercicir dan kemudian terus balik," katanya.
Nazeri turut menasihati golongan pemancing agar lebih berwaspada dan membawa peralatan yang bersesuaian serta bergerak secara berkumpulan sebagai langkah keselamatan selain mengamalkan doa Nabi Sulaiman.
Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 2 minit 41 saat dimuat naik oleh Nazeri menerusi aplikasi TikTok yang memaparkan mengenai kejadian terbabit.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Aminuddin Jamin ketika dihubungi Bernama berkata, beberapa anggota jabatan itu telah ke lokasi kejadian bagi tujuan siasatan dan pemantauan.
"Pada masa sama, kita ingin mengingatkan orang ramai agar tidak melakukan sebarang provokasi sekiranya terserempak dengan haiwan liar termasuk harimau dan gajah yang cenderung menyerang mangsa jika berasa terancam atau untuk mendapatkan makanan.
"Sebarang aduan serta maklumat mengenai hidupan liar boleh disalurkan kepada Perhilitan melalui talian hotline Perhilitan 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!