Mendiang Sarjan Apot selamat disemadikan
KAMPAR - Jasad Sarjan Mejar (Bersara) Apot Saad, 75, selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Orang Asli Kampung Batu Berangkai di sini pada Sabtu.
Sebelum itu, Istiadat Pengkebumian Negeri dijalankan dan berakhir dengan penyerahan bendera Jalur Gemilang oleh Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariat kepada balu mendiang, Krig Sudin, 77.
Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan itu apabila Zulkafli turut sebak ketika menyerahkan bendera berkenaan sebagai tanda penghargaan dan pengorbanan mendiang yang telah berbakti kepada negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Keranda mendiang kemudian diusung oleh lapan anggota pasukan VAT69 Komando mendaki lereng bukit setinggi 150 meter sambil diiringi ahli keluarga dan penduduk kampung.
Hadir sama, Komander VAT 69 Komando, Senior Asisten Komisioner Hamzah Hashim; Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud dan mantan Naib Yang Dipertua Persatuan Veteran VAT69 Komando, Deputi Superintenden (Bersara), Mohd Noor Razak.
Kira-kira 250 orang termasuk ahli keluarga mendiang dan pegawai PDRM menghadiri persemadian itu sebelum selesai jam 5.25 petang.
Apot yang digelar 'The Big Nose Trekker' dalam pasukan elit PDRM, VAT69 Komando dilaporkan menghembus nafas terakhir kira-kira jam 12.40 tengah malam pada Jumaat di Hospital Kampar akibat jangkitan kuman di paru-paru dan sesak nafas.
Karier Apot dalam PDRM bermula sebagai anggota Senoi Praaq sebelum beralih ke VAT 69 pada 1970. Beliau dianggap antara kalangan perintis Orang Asli negara yang berjuang menentang komunis.
Sering diletakkan di barisan hadapan, Apot yang pernah menyertai 15 pertempuran sejak diserap dalam VAT69 Komando tidak pernah mengecewakan pasukannya.
Kebolehan Apot yang dianggap pakar penjejak menyebabkan Orang Asli dari kaum Semai ini digeruni pengganas komunis.
Antara operasi yang membawa kejayaan adalah Ops Catfish, Ops Kambing, Ops Bamboo, Ops Manis dan Ops Indera antaranya di Selangor, Pahang, Kelantan dan Perak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!