16 PATI ditahan di premis hiburan haram di Puchong
PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen (JIM) menahan 16 pendatang tanpa izin (PATI) dalam operasi di sebuah premis diubah suai menjadi pusat hiburan haram di Puchong, Selangor, semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, mereka yang berusia antara 25 dan 47 tahun itu terdiri daripada 13 lelaki warga Nigeria, dua wanita warga Thailand dan seorang lelaki Uganda.
"Kesemua yang tidak memiliki sebarang dokumen atau pas yang sah untuk berada di negara ini dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk siasatan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, modus operandi premis itu ialah menyediakan hiburan dan minuman keras kepada pelanggan malah terdapat segelintir pelanggan membawa gadis warga asing sebagai pelayan.
Premis itu, katanya dipercayai menjadi tumpuan warga Afrika untuk berhibur kerana beroperasi mulai jam 7 malam hingga 2 pagi tanpa sebarang gangguan.
Ruslin berkata, semasa serbuan terdapat pelanggan yang berada di bawah pengaruh alkohol cuba melakukan provokasi dengan menjerit memarahi serta cuba melarikan diri dengan merempuh anggota operasi, namun berjaya disekat.
"Operasi ini dijalankan hasil maklumat risikan selama dua minggu selepas menerima aduan daripada orang awam berhubung tindakan warga asing membuat bising hingga mengganggu ketenteraman awam di kawasan kejiranan berhampiran,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!