Iran berjaya lancarkan satelit penyelidikan Chamran 1 ke orbit

Gambar fail. Foto Agensi
Gambar fail. Foto Agensi
A
A
A

TEHRAN - Iran berjaya menghantar sebuah satelit penyelidikan buatan tempatan yang dinamakan Chamran 1 ke orbit, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).

Satelit itu diletakkan di orbit pada ketinggian 550 km pada pagi Sabtu menggunakan pengangkut satelit Qaem-100, sebuah kenderaan pelancar angkasa berkuasa bahan api pepejal yang dibangunkan oleh pakar aeroangkasa Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC).

Beberapa jam selepas pelancaran, satelit Chamran 1 menghantar isyarat pertamanya.

Kapal angkasa itu, yang dibangunkan oleh beberapa syarikat dan kumpulan industri Iran, mempunyai berat kira-kira 60 kg.

Misi utamanya adalah untuk menguji sistem perkakasan dan perisian bagi membuktikan teknologi pengendalian orbit dalam ketinggian dan fasa.

Chamran 1 turut ditempatkan di orbit untuk menilai subsistem pendorongan gas sejuk dalam sistem angkasa serta menilai prestasi subsistem navigasi dan kawalan situasi.

Iran telah membangunkan program angkasanya dalam beberapa tahun kebelakangan ini walaupun menghadapi sekatan yang dikenakan oleh Barat ke atasnya. - Bernama-IRNA

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!