Jenazah lelaki diserang beruang selamat dikebumikan

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

KOTA BHARU - Jenazah Muhamad Zaki Che Mohamed, 33, lelaki yang meninggal dunia selepas bertarung nyawa enam hari ekoran cedera parah diserang beruang, selamat dikebumikan pada jam 12 tengah hari tadi.

Adik mangsa, Siti Jamilah, 22, berkata, abangnya yang merupakan anak keempat daripada sembilan beradik meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian pada 3.45 pagi tadi dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jerek Baru.

"Kami reda dengan pemergiannya dan percaya ALLAH lebih menyayanginya kerana dia adalah abang yang terlalu baik, walaupun pendiam tetapi sangat penyayang terhadap keluarga.

"Arwah suka beri duit kepada adik-adik terutama yang bongsu biarpun dia hanya kerja kampung. RM100 yang dihulurkan bagi dia seolah-olah RM1, tidak berkira dan sangat pemurah orangnya," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Siti Jamilah berkata, pemergian abangnya turut dirasai ibu bapanya Mek Esah Che Omar, 62, dan Che Mohamed Konok, 70.

Menurut Siti Jamilah, sepanjang enam hari dirawat, Allahyarham tidak boleh bercakap namun memberi reaksi dan mengangkat tangan setiap kali mereka melawatnya.

"Arwah cedera teruk pada dada dan paru-paru. Sebelum ini dia disahkan stabil, namun kesihatannya kembali merosot hingga meninggal dunia hari ini.

"Dia terlalu minat memikat burung dari kecil dan di rumah kami banyak burung hasil tangkapannya di hutan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahad lepas media melaporkan Muhamad Zaki dipercayai diserang beruang ketika keluar memikat burung di kawasan kebun di Kampung Dalam Senduk, Jerek, Gua Musang hingga meninggalkan kesan koyakan pada kepala, kaki dan mata akibat cakaran haiwan liar itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!