Pas lulus pindaan Perlembagaan, masukkan peruntukan anti lompat parti

Takiyuddin ketika ucaptama Muktamar Pas ke-70 di Kompleks Al-Makmur pada Sabtu.
Takiyuddin ketika ucaptama Muktamar Pas ke-70 di Kompleks Al-Makmur pada Sabtu.
A
A
A

TEMERLOH - Pas menjadi parti politik terbaharu yang meluluskan usul mewujudkan peruntukan anti lompat parti dalam Perlembagaan parti tersebut.

Perkara itu dipersetujui oleh dua pertiga daripada 1,324 perwakilan parti sempena Muktamar Pas Tahunan kali ke-70 yang berlangsung di Kompleks Al-Makmur di sini.

Peruntukan tersebut merupakan antara enam pindaan lain yang dipersetujui termasuk penubuhan dewan baharu, pemerkasaan Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP), mengemaskini peruntukan berkaitan dewan-dewan dan pindaan isu-isu pentadbiran.

Selain itu, usul yang turut dipersetujui adalah mewujudkan peruntukan berkaitan lembaga pemegang amanah serta pindaan berkaitan isu-isu teknikal.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan ketika membentangkan kesemua usul berkenaan berkata, pindaan peruntukan anti lompat parti diperkenalkan bagi menangani isu berkenaan di masa hadapan.

"Mana-mana ahli yang menyertai atau menyokong parti lain yang tidak dianggotai Pas, atau mengambil tindakan bertentangan dengan pendirian parti, akan kehilangan keahlian secara automatik.

"Peruntukan Fasal 15A juga meliputi ahli yang memilih untuk menjadi wakil rakyat bebas.

"Ini penting bagi memastikan disiplin dan kesetiaan ahli yang memegang jawatan dalam badan perundangan," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu, pucuk pimpinan parti memutuskan untuk membuat langkah tersebut memandangkan parti-parti lain sudah menerima pakai peruntukan sedemikian dalam perlembagaan masing-masing agar selaras Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

Undang-undang anti lompat parti telah diperkenalkan dalam Perlembagaan Persekutuan pada 2022 melalui rang undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Rakyat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!