Umrah lelaki berkelakuan wanita tidak sah: Mufti
GEORGETOWN - Ibadah umrah yang dikerjakan oleh seorang lelaki yang berkelakuan dan berpakaian seperti wanita adalah tidak sah dan satu perkara sia-sia.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Mohd Noor berkata, golongan mak nyah tidak dihalang untuk mengerjakan umrah dan haji namun mereka harus bertaubat terlebih dahulu dan berubah sepenuhnya.
Menurutnya, sekiranya seorang lelaki berkelakuan dan berpakaian seperti wanita dalam melakukan ibadah, ia juga dianggap mempermain-mainkan agama.
"Lelaki secara semula jadi berkeadaan sedemikian tidak dicela dan dikutuk kerana ia tidak berlaku dengan kehendak mereka. Namun, ia tidak bererti golongan mak nyah dihalang daripada mengerjakan ibadat termasuk haji dan umrah. Cuma mereka mesti bertaubat terlebih dahulu daripada kesalahan tersebut dan mengubah semula diri mereka menjadi lelaki yang sebenar dari segi berpakaian dan kelakuan.
"Ibadat umrah yang dikerjakan oleh seorang lelaki dalam keadaan berkelakuan dan berpakaian seperti wanita adalah tidak sah dan sia-sia sahaja. Malah boleh dianggap sebagai mempermain-mainkan ibadat. Perbuatan sebegini adalah berdosa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas isu usahawan kontroversi Nur Sajat yang menunaikan umrah bersama dua rakan dan keluarganya dengan memakai pakaian wanita selain mengerjakan ibadat tersebut di kawasan ibadah wanita.
Tambahnya, pihak berkuasa di Malaysia dan kerajaan Arab Saudi perlu menghalang golongan perosak iman dan akhlak dari golongan mak nyah daripada menjejakkan kaki ke Tanah Suci.
"Kehadiran golongan seperti ini di Tanah Suci akan menimbulkan ketidaksenangan dalam kalangan jemaah selain boleh menimbulkan pelbagai masalah seperti berkongsi tandas dan kawasan solat dengan kaum wanita yang bukan mahram. Oleh itu, pihak berwajib di Malaysia dan Arab Saudi mesti mengambil langkah-langkah tertentu untuk menghalang golongan ini daripada memasuki tanah suci dengan tidak mengeluarkan pasport dan visa kepada mereka.
"Sama juga bagi syarikat atau agensi haji dan umrah yang tidak sewajarnya menerima golongan mak nyah ini menyertai pakej mereka sekiranya diketahui keadaan yang sebenarnya," katanya.
Wan Salim berkata, pihaknya berharap agar golongan tersebut mendapat hidayah di Tanah Suci dan bertaubat dengan semua kesalahan mereka selama ini serta kembali kepada keadaan asal iaitu menjadi lelaki tulen.
"Sunat bagi setiap orang Islam, lelaki dan perempuan menunaikan ibadat umrah di Tanah Suci Makkah. Golongan mak nyah pada hakikatnya adalah lelaki walaupun penampilan mereka seperti perempuan baik dari segi gerak geri, percakapan, berpakaian, bersolek dan sebagainya.
"Agama Islam melarang orang lelaki berlagak seperti perempuan atau menampilkan diri dengan perwatakan perempuan. Sesiapa yang berbuat demikian adalah berdosa besar dan dikutuk oleh Rasulullah SAW. Perlu dijelaskan bahawa celaan dan kutukan ini hanya ke atas golongan mak nyah yang sengaja berkelakuan seperti perempuan," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN Peguam agensi sahkan Sajat masih di Tanah Suci
Kerajaan kesal Sajat bertelekung di Tanah Suci: Mujahid
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!