Kelantan, Sabah cemerlang dalam Pertandingan Seni Generatif AI Antarabangsa 2024

Muhammad Nasir (empat dari kiri) bersama pemenang pada majlis pengumuman pemenang dan penyampaian hadian yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Center (KLCC) pada Sabtu.
Muhammad Nasir (empat dari kiri) bersama pemenang pada majlis pengumuman pemenang dan penyampaian hadian yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Center (KLCC) pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelajar dari Kelantan dan Sabah mengharumkan nama negara apabila menunjukkan prestasi cemerlang dalam Pertandingan Seni Generatif AI Antarabangsa 2024 (Kategori Sekolah) yang berlangsung pada 6 Jun sehingga 30 Julai lalu.

Ia selepas pelajar Malaysia dari negeri berkenaan berjaya menjadi juara, naib juara dan tempat ketiga bagi kategori tersebut masing-masing dari Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Ketereh, SK Bukit Abal dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampong Chengal.

Juara dinobatkan buat pelajar prasekolah SK Ketereh, Atiya Raisa Nizam yang menghasilkan karya bertajuk Education for Tomorrow.

Karya tersebut berjaya menggabungkan elemen seni tradisional Kelantan dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang menarik perhatian juri dengan kreativiti dan pendekatan inovatifnya.

Lebih membanggakan, anugerah 10 karya terbaik juga dimenangi oleh sekolah-sekolah lain dari Sabah seperti SK Sungai Nafas, SK Bawang, SMK Beluran dan beberapa peserta dari Pulau Pinang, Indonesia serta Mesir.

Kurator pameran, Prof Madya Ahamad Tarmizi Azizan berkata, karya yang dipamerkan mencerminkan tahap kreativiti dan kemampuan teknikal yang sangat mengagumkan.

"Kemenangan ini bukan sahaja memperlihatkan bakat pelajar dari Kelantan dan Sabah, tetapi juga potensi besar seni generatif AI di Malaysia,” katanya pada majlis pengumuman pemenang dan penyampaian hadiah yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Center (KLCC) pada Sabtu.

Muhammad Nasir (dua dari kiri) bersama juara Pertandingan Seni Generatif AI Antarabangsa 2024 (Kategori Sekolah).
Muhammad Nasir (dua dari kiri) bersama juara Pertandingan Seni Generatif AI Antarabangsa 2024 (Kategori Sekolah).

Artikel Berkaitan:

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Naib Presiden dan Ketua Bahagian Akselerator Industri Digital, MDEC, Wan Murdani Wan Mohamad dan Ahli Lembaga Penasihat CAC UMK, merangkap Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah selaku tetamu kehormat.

Ahamad Tarmizi yang juga Pengarah Creative Accelerator Center (CAC), Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW), UMK berkata, acara tersebut merupakan sebahagian daripada GEN AI International Art Exhibition and Competition 2024 dan turut disertakan dalam penganjuran program International MyDigital Maker Fair 2024, anjuran MDEC yang berlangsung dari 13 hingga 15 September 2024.

Menurutnya, pertandingan tersebut juga merupakan kesinambungan daripada penganjuran program Karnival Pendidikan Digital Negeri Kelantan 2024, yang berlangsung di SSTP, JPN Kelantan, pada Julai lalu.

"Pertandingan Seni Generatif AI ini berjaya menarik lebih daripada 60 penyertaan dari Malaysia, Indonesia dan Mesir, dan dibuka untuk pelajar berumur antara 5 hingga 19 tahun.

"Lebih daripada 200 karya dari 15 negara turut dipamerkan dalam kategori lain termasuk ahli akademik, profesional, artis, pelajar IPT dan murid sekolah," katanya.

Jelasnya, penilaian dilakukan oleh juri profesional dari Malaysia, Indonesia, Iraq, Thailand, Mesir, Jerman, China dan Turkiye.

"Mereka ini terdiri daripada ahli akademik, artis antarabangsa, pakar grafik dan pakar teknologi, berdasarkan inovasi, estetika dan integrasi AI dalam seni.

"Pertandingan ini bukan sahaja mengiktiraf bakat muda, tetapi juga menyokong pembangunan ekonomi digital negara. Penganjuran acara ini diharap akan terus memupuk lebih ramai pelajar untuk meneroka potensi seni generatif AI dan membuka peluang bagi Malaysia untuk menonjol di persada seni digital antarabangsa," tambah beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!