Menjiwai perpaduan dan kepelbagaian kita

Kestabilan politik, perpaduan dan kemajmukan menjadikan Malaysia lebih kompetitif.
Kestabilan politik, perpaduan dan kemajmukan menjadikan Malaysia lebih kompetitif.
A
A
A

HARI Malaysia tahun ini sememangnya membawa harapan dan keyakinan baharu yang mungkin sudah lama tidak kita dirasai. Sebabnya? Alhamdulillah, sejak dua tahun negara dibuka sepenuhnya pasca-pandemik, ekonomi negara semakin kukuh dan telah berkembang 5.1 peratus bagi separuh pertama 2024 berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas.

Ini meletakkan kita di kedudukan lebih baik berbanding negara-negara jiran di rantau ASEAN sekali gus membolehkan kita mencapai sasaran pertumbuhan KDNK empat hingga lima peratus tahun ini. Kedudukan ringgit juga paling kukuh dalam tempoh 18 bulan. Perdagangan bagi Januari hingga Julai meningkat 9.8 peratus, mencapai paras tertinggi RM1.652 trilion berbanding tahun lepas. Pada masa sama, sektor pembuatan juga berkembang 1.9 peratus bagi suku pertama 2024 dan 4.7 peratus bagi suku kedua 2024.

Sejumlah RM160 bilion pelaburan telah diluluskan bagi separuh pertama 2024, peningkatan sebanyak 18 peratus berbanding tahun lepas. Ini dijangka akan mewujudkan 79,187 peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia. Pelaburan asing baharu daripada syarikat-syarikat global terkenal seperti Amazon Web Services, AMD, GDS, Google dan Infineon juga mendorong peningkatan pelaburan domestik - satu pengiktirafan rakyat Malaysia terhadap dasar kita.

Kerajaan terbukti responsif terhadap trend perdagangan dan pelaburan global yang mana sekali gus meningkatkan jumlah perdagangan serta aliran pelaburan. Malah media antarabangsa juga banyak melaporkan cerita-cerita positif mengenai trend kemasukan semula pelabur asing ke Malaysia, selari dengan potensi pertumbuhan yang meningkat, kestabilan pentadbiran Kerajaan dan pengukuhan ringgit.

Malaysia juga dilaporkan menjadi destinasi pelaburan pilihan bagi syarikat-syarikat antarabangsa yang ingin mengurangkan risiko operasi akibat ketidaktentuan geopolitik. Pelabur asing serta warga diplomat yang saya temui juga sering menyuarakan penghargaan mereka atas kejelasan dasar-dasar kerajaan serta kestabilan politik dan kedaulatan undang-undang di Malaysia. Seringkali kita sendiri yang kurang menghargai kelebihan ini dan juga perpaduan serta kemajmukan Malaysia.

SEMAI HARAPAN

Dalam meraikan bulan merdeka ini, saya merasakan kita berhak menyemai harapan dan optimisme lebih tinggi, memandangkan ekonomi kita kini lebih kukuh. Bagi saya, tema ‘Jiwa Merdeka’ sangatlah bermakna kerana beberapa tahun lalu, ramai antara kita mempunyai harapan besar bebas Covid-19.

Pada tahun 2020, saya menerima pelantikan sebagai Menteri Kewangan, salah satu langkah ‘paling berani’ dalam sejarah kerjaya saya. Namun, seruan untuk berkhidmat demi negara itu terlalu kuat. Mungkin juga ‘keberanian’ itu datangnya daripada dorongan untuk berkhidmat dalam sektor awam, yang tersirat di dalam darah daging ibu, datuk dan moyang saya sendiri yang juga pernah memegang jawatan kanan dalam Kerajaan. (Kebetulan moyang saya merupakan sebahagian daripada delegasi merdeka yang diketuai Tunku Abdul Rahman pada tahun 1957).

Artikel Berkaitan:

Ibu dan datuk saya sering bercerita tentang kakitangan awam dan rakan sekerja dari pelbagai latar belakang yang pernah bertugas bersama mereka. Mereka dihargai berdasarkan kompetensi dan bukannya bangsa. Jadi, rasanya memang amat istimewa apabila saya sendiri berpeluang untuk berkhidmat bersama kakitangan awam dari Kementerian Kewangan, kementerian-kementerian dan agensi lain semasa pandemik Covid-19.

Kami bersatu dalam satu misi yang jelas: membantu Malaysia mencapai ‘kemerdekaan’ dari pandemik. Alhamdulillah, dedikasi dan kerjasama daripada semua pihak bukan sahaja membuahkan kejayaan, malah telah membantu ekonomi berkembang sebanyak 8.7 peratus pada tahun 2022.

Kini di Kementerian Pelaburan, Perdagangan & Industri (MITI), saya dapat merasakan keistimewaan sama apabila melihat kakitangan MITI dari pelbagai latar belakang bekerjasama dalam merunding perjanjian perdagangan terbaik untuk Malaysia, menarik pelaburan tepat untuk pertumbuhan sosioekonomi yang mampan dan membangunkan daya tahan industri.

Dengan kestabilan politik semasa, pasukan MITI juga telah berjaya melaksanakan pelbagai dasar penting, termasuk ‘diplomasi perindustrian’ Malaysia yang unik bagi mengukuhkan rantaian bekalan global, terutamanya dalam sektor seperti semikonduktor.

KESUNGGUHAN

Kabinet Kerajaan Perpaduan yang diwakili pelbagai kaum juga mempamerkan kesungguhan dalam mengekalkan kestabilan yang Malaysia perlukan bagi memacu pembaharuan ekonomi yang sangat diperlukan. Ini termasuk melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, yang telah melahirkan Strategi Semikonduktor Nasional dan Strategi Pelaburan Hijau. Dasar-dasar ini berperanan penting dalam menarik lebih ramai lagi pelabur ke Malaysia dan ini jelas dicerminkan oleh angka pelaburan yang diluluskan bagi separuh pertama 2024.

Ada yang mungkin bertanya: “Kenapa angka yang diumumkan semakin kukuh tetapi dompet rakyat semakin ‘nipis’?” Hakikatnya, perkara ini juga diberi perhatian - termasuklah melalui kenaikan gaji penjawat awam baru-baru ini bagi mendorong peningkatan gaji dalam sektor lain. Satu lagi reformasi penting merupakan kerjasama MITI dengan kementerian-kementerian lain untuk membangunkan sebuah program aliran bakat yang kukuh bagi menyokong keperluan tenaga kerja industri-industri utama dan membantu PKS ke peringkat lebih tinggi dalam rantaian nilai global.

Rakyat merupakan sumber negara paling berharga dan pelabur menghargai kepelbagaian dan kebolehan rakyat kita bertutur pelbagai bahasa. Sebab itu kita perlu mengiktiraf, membimbing dan membangunkan bakat yang berkebolehan demi kemajuan negara.

Dalam lawatan saya ke beberapa kilang di Pulau Pinang bulan lepas, saya bertemu seorang graduan kejuruteraan dari universiti tempatan. Jurutera akustik muda, berhijab, berpenampilan sederhana, bekerja di sebuah syarikat multinasional tersohor ini telah berjaya memperhalusi teknologi pengurangan bunyi di syarikat yang menghasilkan walkie-talkie berkualiti tinggi yang diguna pakai di seluruh dunia.

Inovasi seperti ini boleh menjadi penentu antara hidup atau mati dalam situasi berisiko tinggi seperti insiden kejar-mengejar polis dan suspek (tembak atau jangan tembak?) atau di pelantar minyak luar pesisir di mana angin sepantas 120km/h sering mengganggu tatacara keselamatan.

Interaksi tersebut sangat membanggakan dan menyemarakkan semangat saya untuk memperkemaskan strategi bakat industri negara agar tenaga mahir terbaik kita akan terus tinggal di sini dan berkhidmat untuk negara.

BANGUN BAKAT

Sehingga kini, MITI juga telah berkolaborasi bersama Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk membangunkan bakat industri negara secara lebih tersusun.

Saya banyak melihat anak muda pelbagai kaum bekerja bersama dalam syarikat-syarikat multinasional industri termaju. Tidak diragui, bakat dan kebolehan mereka sememangnya menyumbang kepada eksport kita dan berperanan menarik lebih banyak pelaburan yang menyokong kemakmuran sosioekonomi Malaysia.

Menyentuh tentang bakat Malaysia di luar negara pula, saya teruja bila mendapat tahu tentang program brain circulation Talent Corp – satu inisiatif brain gain yang terbaharu bagi memanfaatkan sumbangan dan kebolehan pelbagai profesional diaspora Malaysia untuk kemakmuran tanah air.

Ringkasnya, ramai dalam kalangan rakyat Malaysia yang bersemangat mahu membina negara. Secara amnya, kestabilan politik, perpaduan dan kemajmukan kita sememangnya menjadikan Malaysia lebih kompetitif. Jadi, sempena bulan kemerdekaan ini, marilah kita perbaharui tekad untuk mempertahankan keharmonian, perpaduan dan kemajmukan yang diperjuangkan generasi lalu. Ini mungkin satu usaha patriotisme yang sangat diperlukan, terutamanya di saat dunia dibelenggu pelbagai ketidaktentuan dan perpecahan.

Saya berharap mesej ini dapat dipupuk terutama dalam golongan anak muda kerana tanah air yang kita cintai ini telah melalui banyak cabaran dalam mencapai kemerdekaan, berjaya mengharungi pandemik global dan terus berkembang dengan hebatnya. Sesuatu yang tidak boleh diambil mudah.

Kita perlu ingat Malaysia lebih berjaya apabila kita bersatu hati dan saya pasti inilah kecemerlangan yang kita semua idamkan. Selamat Menyambut bulan kemerdekaan dan Selamat Hari Malaysia!

* Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!