PRK DUN Mahkota medan perkukuh jentera BN, PH - Sheikh Umar

BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang Syed Hussien Syed Abdullah (kiri) bagi mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lepas di kerusi DUN Mahkota. Gambar kecil: Sheikh Umar
BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang Syed Hussien Syed Abdullah (kiri) bagi mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lepas di kerusi DUN Mahkota. Gambar kecil: Sheikh Umar
A
A
A

KLUANG - Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota akan menjadi medan memperkukuhkan jentera parti Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dari peringkat pucuk pimpinan hingga ke akar umbi.

Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, Kebersamaan jentera PH-BN akan mempamerkan kesediaan Kerajaan Perpaduan menghadapi pilihan raya akan datang khususnya Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

"Pilihan raya ini akan sekali lagi menguji kerukunan parti-parti PH-BN sebagai sebuah gabungan yang kuat dalam membentuk kerajaan Perpaduan. Ia bakal memberi gambaran keutuhan kita dalam memastikan agenda membangunkan negara dipacu atas kestabilan politik yang kukuh.

"Ia juga menjadi tanda penggemblengan rakyat pelbagai bangsa berpaksikan fokus bersama untuk menjayakan agenda pemulihan ekonomi seperti diiltizamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Kabinetnya," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP itu menambah, PRK DUN Mahkota juga merupakan kerusi ideal untuk mengetengahkan politik moderat, sederhana dan tidak ekstrim sesuai dengan gagasan Malaysia Madani.

"Ia merupakan kontras kepada politik kebencian dan manipulasi sempit sentimen ras dan agama," ujarnya.

Beliau seterusnya percaya PH-BN akan bergerak seiringan bagi memenangkan Calon Perpaduan dalam PRK DUN Mahkota yang diwakili Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah.

"Ia penting bukan sahaja untuk menuai kejayaan pada hari pengundian 28 September nanti, tetapi untuk kemenangan PH-BN menjelang PRU akan datang.

Artikel Berkaitan:

"Kita memerlukan semangat perpaduan jangka panjang bagi memastikan Malaysia terus berada pada landasan yang betul.

"Formula perpaduan jangka panjang inilah yang akan mengangkat semula Malaysia dan rakyatnya melonjak lebih tinggi di mata dunia baik dari aspek politik, ekonomi serta kerukunan bangsa," katanya lagi.

PRK DUN Mahkota menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang Syed Hussien Syed Abdullah, 40, bagi mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lepas, manakala PN meletakkan bekas pemain bola sepak Johor Mohamad Haizan Jaafar, 61, sebagai calon.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos, semasa menerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom di sini.

Pada pilihan raya negeri 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon PH, PN dan Warisan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!